KWSP bebas laksana pengeluaran berkala mandatori untuk pesara

KWSP bebas laksana pengeluaran berkala mandatori untuk pesara -PM

ANWAR Ibrahim berucap ketika hadir merasmikan "International Social Wellbeing Conference (ISWC)" serta melancarkan aplikasi KWSP I-Akaun di Hotel Mandarin Oriental di sini hari ini.-UTUSAN/ AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim terbuka dengan cadangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menjadikan pengeluaran secara berkala atau bulanan apabila pencarum mencecah usia persaraan 55 tahun daripada secara sukarela kepada mandatori bagi pencarum baharu.

Perdana Menteri menyifatkan, ia dilihat sebagai salah satu cara untuk memastikan pencarum sentiasa mempunyai wang yang cukup untuk menyara hidup sepanjang tempoh persaraan. 

“(Cadangan) itu masih di peringkat akhir dan saya tidak ada keberatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa Ke-10 2023 (ISWC 2023).

Namun, beliau mengakui pengeluaran berkala secara mandatori mungkin tidak memberi kelebihan kepada pencarum yang mempunyai jumlah simpanan kecil selepas bersara.

“Jika mengikut keupayaan KWSP seperti dikatakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, ada beberapa kekangan terutama dalam kalangan simpanan yang terlalu kecil,” katanya.

Perdana Menteri turut melancarkan versi baharu Aplikasi i-Akaun KWSP yang menggabungkan ciri-ciri inovatif dan interaktif untuk meningkatkan pengalaman pengguna. 

Platform yang dinaik taraf ini menyediakan pelbagai fungsi bagi ahli melaksanakan transaksi berkaitan KWSP, termasuk kalkulator simpanan persaraan baharu bagi membantu ahli menilai kecukupan simpanan KWSP apabila bersara kelak.

Pada hari pertama persidangan ISWC 2023 semalam, Amir Hamzah berkata, pengeluaran secara berkala dilihat mampu memberi peluang kepada ahlinya menguruskan wang persaraan dengan lebih baik.

Beliau berkata, pengeluaran berkala juga memberi peluang kepada ahlinya terus menikmati dividen tahunan dengan baki simpanan sedia ada.

Ketika ini, pengeluaran secara bulanan boleh dibuat secara sukarela dan menuju ke depan pihaknya sedang mempertimbangkan sama ada menjadikannya secara mandatori bagi ahli baharu.

Namun, katanya, pelaksanaan secara mandatori itu perlu melalui kajian teliti dan perbincangan yang selanjutnya dengan kerajaan.

“Kita sememangnya memberi pilihan pengeluaran kepada ahli KWSP yang sudah mencecah usia persaraan 55 tahun untuk sama ada pengeluaran penuh atau sebahagian.

“Namun, ahli yang memilih pengeluaran secara bulanan masih tidak ramai dan ini adalah ruang untuk kami perlu promosi dengan lebih lagi,” katanya.

Sehingga Mac 2023, seramai 116,423 ahli baharu menjadikan jumlah ahli KWSP mencecah 15.8 juta.

Daripada jumlah itu, seramai 8.45 juta adalah ahli aktif, yang kini mewakili 50 peratus daripada 16.81 juta tenaga kerja di negara ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya