Kunci diambil, tapi rumah setinggan diberi kepada saudara - Utusan Malaysia

Kunci diambil, tapi rumah setinggan diberi kepada saudara

ONN HAFIZ GHAZI (tengah) diiringi Mohd. Jafni Md. Syukor (kiri) melihat model rumah yang dipamerkan sempena Ekspo Hartanah Johor 2023 di Angsana Johor Bahru Mall, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: “Kunci rumah baharu diambil, tetapi kediaman setinggan masih dihuni anak beranak, saudara mara dan sepupu sepapat.”

Perkara itu didedahkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengenai isu penempatan setinggan, termasuk yang terletak di kawasan berhampiran sungai di sekitar pusat bandar raya ini.

Justeru, menurutnya, kerajaan negeri bertekad untuk mencari kaedah terbaik bagi menangani isu berkenaan, khususnya di kawasan pusat bandar raya ini dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Ketika ini terdapat sebanyak 8,973 kediaman setinggan melibatkan 79 penempatan di Johor Bahru termasuk di sekitar pusat bandar. Kita sasarkan untuk mengurangkan sehingga kira-kira 3,000 penempatan setinggan menjelang tahun 2026.

“Majoriti penduduk di kawasan penempatan setinggan ini telah ditawarkan dengan kediaman lebih bersesuaian, namun apabila mereka terima kunci untuk kediaman tersebut, rumah setinggan asal masih dihuni orang lain.

“Mungkin anak beranak, saudara mara atau sepupu-sepapat mereka, rumah setinggan itu kekal tetapi diduduki orang lain. Jadi satu kaedah lebih baik akan dilaksana untuk menangani isu legasi ini,” katanya selepas melancarkan Ekspo Hartanah Johor 2023 di pusat beli-belah Angsana Johor Bahru Mall, di sini hari ini.

Yang urut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor dan Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman.

Onn Hafiz berkata, usaha itu juga akan membantu menjayakan program Johor Bersih dalam usaha menjadikan negeri ini berstatus negeri maju menjelang tahun 2030.

Beliau turut memberitahu bahawa sektor hartanah Johor semakin rancak selepas jumlah kediaman tidak terjual di negeri ini menunjukkan penurunan berbanding beberapa tahun lalu.

“Rekod menunjukkan pada Februari tahun lalu, terdapat lebih 16,000 kediaman tidak terjual, khususnya unit apartmen, namun jumlah itu berkurangan dan ketika ini tinggal 13,683 unit kediaman tidak terjual.

Untuk memastikan perkara itu dapat diatasi, kerajaan negeri telah mengadakan pertemuan dengan pemaju hartanah bagi mengkaji kaedah terbaik yang membolehkan situasi menang-menang antara kerajaan negeri, pemaju dan pembeli.

“Ini kerana kita tidak mahu ada sebarang projek ‘gajah putih’ di negeri ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya