KPDN tegaskan tiada kenaikan harga barang

KPDN tegaskan tiada kenaikan harga barang

SALAHUDDIN AYUB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menegaskan tiada kenaikan harga barang keperluan asas seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kami memberi jaminan barang bersubsidi seperti minyak masak peket, ayam bulat, telur, RON 95 dan diesel tidak akan naik harga dan tidak mungkin dinaikkan.

“Dalam bulan ini sahaja sudah tujuh atau lapan kali kami mengadakan lawatan terus ke pasar raya, pasar raya besar, pasar basah, kedai runcit dan pasar mini di beberapa kawasan di seluruh negara.

“Ada dakwaan barang-barang keperluan rakyat naik mendadak, untuk lebih bertanggungjawab, kami pergi sendiri membuat tinjauan dan bukan kerana tuduhan itu pun, tetapi ia memang tanggungjawab KPDN setiap hari untuk memantau dan mengawal harga barang asas rakyat.

“KPDN memantau harga bagi 480 item di mana 186 item dipantau secara harian. Data harga runcit dikutip setiap hari di lebih 1,400 permis dan kebanyakkan item adalah stabil bagi empat bulan terkini.

“Bagi 61 item barangan import yang dipantau, sebanyak 50 item (82 peratus) berada dalam harga yang stabil termasuk 28 item mengalami penurunan harga seperti ayam belanda, daging lembu blade, ubi kentang russet dan lobak merah.

“Sehingga Jun ini, sebanyak 440,327 bilangan pemeriksaan dilaksanakan dan merekodkan 854 kes dan RM11.8 juta nilai rampasan.

Beliau berkata demikian semasa sidang media tinjauan harga barang di Ecosave Setapak Central, di sini, hari ini.

Salahuddin turut berkata, beberapa minggu lalu memang terdapat kekurangan bekalan gula di seluruh pantai timur pada awal Hari Raya Aidiladha kerana permintaan yang tinggi.

“Namun, melalui Ops Manis, harga gula kembali stabil dan kami tidak menerima apa-apa laporan semasa perayaan tersebut.

“Pada masa yang sama, walaupun barang keperluan asas yang tidak disubsidi, harga tetap dikawal, kami mengadakan libat urus dengan pemain industri.

“Sekiranya rakyat masih melihat terdapat kedai-kedai yang menaikkan harga secara melampau, mereka boleh membuat laporan kepada KPDN dan kami akan mengambil tindakan serta-merta.

“Terdapat dakwaan mengatakan kenaikan harga barang seisi rumah sehingga RM500, dulu hanya RM200 sahaja. Saya telah memilih 27 barangan asas pada hari ini dan keseluruhan hanya mencecah RM305 sahaja.

“Ini Econsave, mungkin tempat lain ada naik sikit tapi kalau naik pun dalm RM350 sahaja, kalau rakyat hendak membeli beras Basmathi yang berharga RM45 bagi 5kg itu terpulang kepada masing-masing.

“Rakyat perlu bertenang dan jangan mudah terpengaruh dengan serangan-serangan yang mungkin berobjektif untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi enam negeri,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya