Kontraktor rumput tiruan didakwa tipu geran bantuan usahawan - Utusan Malaysia

Kontraktor rumput tiruan didakwa tipu geran bantuan usahawan

MUHAMMAD Syafiq Harun (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan menipu seorang wanita bagi mendapatkan geran bantuan usahawan melibatkan kerugian lebih RM300,000, tahun lalu.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang kontraktor rumput tiruan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang wanita bagi mendapatkan geran bantuan usahawan melibatkan kerugian lebih RM300,000, tahun lalu. 

Tertuduh, Muhamad Syafiq Harun, 29, membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Norshila Kamaruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah didapati dengan curangnya menipu seorang wanita berusia 43 tahun bagi mendapatkan wang dengan menawarkan geran SME Corp tidak wujud dengan cara meminta mangsa membuat pembayaran sebanyak 14 transaksi berjumlah RM310,500 ke dalam dua akaun bank berbeza.

Ia bagi mendapatkan geran berkenaan yang dijanjikan untuk perniagaan yang dijalankan mangsa yang mana wanita itu tidak akan membuat transaksi wang berkenaan sekiranya tidak diperdayakan tertuduh. 

Difahamkan, wanita tersebut merupakan bekas guru mangsa.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis perniagaan di Bandar Primas Senawang di sini pada 19 Januari 2022.

Sehubungan itu, tertuduh melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. 

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun, sebat dan boleh dikenakan denda. 

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zulfikri Mohd. Nasir mencadangkan wang jaminan sebanyak RM30,000.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya ikat jamin dikurangkan kepada RM3,000. 

Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan, tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berhampiran. setiap bulan. 

Kes akan disebut semula pada 11 September depan untuk proses lantikan peguam.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya