KOTA BHARU : Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan secara lebih spesifik untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu pada 12 Ogos ini.
Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata, KKM akan berjumpa dan mengadakan perbincangan bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa terdekat bagi menambah baik SOP berkenaan.
Menurutnya, segala keputusan berhubung perkara tersebut akan diselesaikan dalam tempoh dua atau tiga hari sebelum tiba hari mengundi.
“Buat masa ini, kita masih mengguna pakai SOP sedia ada.
Kita akan ada SOP tertentu kepada mereka yang positif Covid-19 dan masih dalam tempoh kuarantin untuk keluar mengundi,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan di sini hari ini.
Pada 29 Jun lalu, pemakaian pelitup muka semasa berada di dalam pengangkutan awam dan fasiliti kesihatan lagi diwajibkan berkuat kuasa 5 Julai.
Zaliha berkata, di bawah penilaian semula SOP, individu yang positif Covid-19 dan mereka yang mengendalikan pesakit itu hanya dikehendaki memakai pelitup muka di lokasi berkenaan.
PRN kali ini melibatkan enam iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor.-UTUSAN