PETALING JAYA: Keterangan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng serta Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang akan diambil dalam minggu ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan akan direkod keterangan di Ibu pejabat Kontinjen Pulau Pinang.
“Abdul Hadi pula akan diminta hadir ke Bukit Aman bagi direkod percakapan.
“Kedua-dua mereka akan dipanggil dalam minggu ini juga,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Ahad lalu, polis mengesahkan menjalankan siasatan terhadap Abdul Hadi berkaitan kenyataan yang mendakwa DAP mahu mengekalkan pengertian Islam dalam Perlembagaan Persekutuan berdasarkan tafsiran penjajah yang menjunjung liberalisme dan kebebasan diamalkan negara Barat.
Kenyataan tersebut dipercayai dilakukan melalui hantaran dalam Facebook Abdul Hadi dimuat naik pada 8 Julai lalu turut diulas serta diterbitkan oleh portal berita New Straits Times.
Siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) JSJ Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 Komunikasi dan Multimedia 1998,”
Selain itu, Razarudin dilaporkan berkata, pihaknya turut menyiasat kenyataan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang mendakwa ‘gelombang hijau’ bakal musnahkan tokong dan menafikan hak agama di Pulau Pinang.
“Siasatan membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” ujarnya.-UTUSAN