Kestabilan politik Sarawak perlu dicontohi enam negeri PRN

Kestabilan politik Sarawak perlu dicontohi enam negeri PRN – Zahid 

AHMAD Zahid Hamidi (tengah) merasmikan Majlis Ngiling Bidai Upacara Penutupan Hari Gawai Dayak Parti Rakyat Sarawak (PRS), di Dewan Suarah Sri Aman, Sarawak hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SRI AMAN: Pengundi yang bakal menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri Semenanjung perlu mencontohi penduduk di Sarawak ke arah pemilihan kerajaan yang mementingkan kestabilan politik.

Dalam erti kata lain, negeri Sarawak perlu diambil sebagai contoh baik dalam kestabilan politik di bawah kepemimpinan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. 

“Kestabilan ini perlu dicontohi di peringkat nasional, lebih-lebih lagi menjelang enam pilihan raya negeri di Semenanjung akan datang di mana terdapat banyak isu yang dimainkan oleh parti politik berbeza.

“Jangan bangkitkan isu tidak munasabah yang menimbulkan kebimbangan kepada rakyat. Isu agama juga tidak seharusnya dibangkitkan yang bukan berdasarkan sumber undang-undang, tetapi, lebih kepada tafsiran individu tertentu dalam parti tertentu. Isu-isu ini dibangkitkan dengan niat untuk mempengaruhi hati dan fikiran rakyat untuk menyokong mereka.

“Oleh itu, kami mohon, kerana saya yakin pengalaman di PRN Sarawak ini yang sudah dilalui di Sarawak ini, boleh kami bincang untuk diguna pakai agar kestabilan Sarawak ini juga dapat dipelajari di enam negeri nanti dan kita harapkan enam negeri ini yang akan menghadapi PRN harus sejajar dengan Kerajaan Pusat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Ngiling Bidai Upacara Penutupan Hari Gawai Dayak Parti Rakyat Sarawak (PRS) di sini hari ini.

Ahmad Zahid menegaskan perkara demikian dalam persediaan menghadapi PRN bagi enam buah negeri masing-masing terdiri Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu. 

Justeru, beliau berhasrat agar kepemimpinan dan kestabilan yang dicapai oleh parti Gabungan Parti Sarawak (GPS) dapat dijadikan contoh di Semenanjung sekali gus menyertai proses kempen PRN di negeri yang terlibat. 

Ahmad Zahid pada masa yang sama turut menegaskan agar rakyat di negara ini tidak melayan ego pemimpin mahupun termakan jenaka kebudak-budakan yang dibuat oleh pemimpin tertentu.

“Rakyat jangan dijadikan bahan untuk uji kaji apatah lagi rakyat dijadikan bahan lawak murahan daripada pemimpin tertentu. Masalah politik adalah masalah serius, bagaimana menyelesaikan masalah rakyat, dan juga bagaimana kemakmuran kepada rakyat itu diberikan keutamaan. 

“Kemajuan harus dibawa, pembangunan harus dibawa kepada rakyat,” tambahnya. 

Sementara itu, dalam satu sidang media selepas majlis berkenaan, beliau mendedahkan sudah mengadakan perbincangan mengenai perkara berkenaan bersama Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi untuk membawa bersama ahli tertinggi GPS bagi membantu kempen enam pilihan raya negeri.

“Kita sudah berbincang (dengan GPS), dan insyaAllah kita akan bawa sendiri Premier Sarawak untuk pilih beberapa negeri untuk diberi tumpuan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya