Kerajaan negeri tiada kuasa lawan kartel padi di Kedah

Kerajaan negeri tiada kuasa lawan kartel padi di Kedah

AZMAN NASRUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa memerangi kartel padi yang membelenggu industri itu di Kedah sehingga mengikat pesawah di semua peringkat apabila tuaian se­tiap musim berbaki RM1,500 berbanding jualan sebenar RM5,000 bagi setiap hektar sawah diusahakan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Azman Nasrudin berkata, pembekalan bahan input bersubsidi baja dan racun tanaman padi kepada pesawah di Kawasan Muda misalnya dilakukan melalui Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP).

Katanya, bukan sahaja SBPKP, bahkan Skim Insentif Penanaman Padi (SIPP) juga dikendalikan oleh agensi di bawah Kerajaan Persekutuan.

“Bekalan baja akan dihantar oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang bertindak sebagai stokis dan akan ditempatkan di stor-stor yang disediakan di dalam pekarangan PPK itu sebelum diedarkan secara berperingkat kepada pesawah di bawah seliaan mereka.

“Manakala pengedaran racun akan diuruskan oleh syarikat racun yang berdaftar dengan
pihak NAFAS dan pengagihan racun adalah mengikut pilihan daripada pesawah,” katanya di sini semalam.

Pada Ahad lalu, Mingguan Malaysia melaporkan pendedahan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengenai penguasaan kartel di semua peringkat berkaitan penanaman padi bermula dari membajak, baja, benih, racun, potongan dan timbangan padi.

Kata beliau, golongan pesawah yang terikat kepada kartel menjadi punca industri padi dan beras di Kedah terus statik atau berada di takuk lama.

Muhammad Sanusi berkata, setiap tahun isu tersebut menjadi rungutan pelbagai pihak terutama pesawah, namun sehingga kini tidak ada pihak-pihak terlibat yang sanggup memerangi kartel yang mengawal input pertanian, timbangan padi di kilang serta jentera dan mesin pembajak yang digunakan pesawah.

Tambah Azman, bagi mengurangkan kebergantungan pesawah di negeri itu kepada kartel atau orang tengah, kerajaan negeri memerangi isu berkenaan dengan cara memperkenal Program Smart Sawah Berskala Besar (SBB).

“Pesawah juga digalakkan menyertai Projek Penanaman Padi Berskala Besar (PPSB) MADA. Ia dikhususkan kepada semua pesawah di Kawasan Muda untuk menguruskan tanaman padi dengan keluasan lebih besar bagi memastikan penghasilan tanaman yang lebih baik serta kos operasi yang lebih minimum.

“Melalui projek berteraskan estet ini, pesawah akan diberi peruntukan modal operasi untuk membantu dalam pembiayaan kos operasi tanaman padi dan pesawah digalakan untuk turut sama menjadi sebahagian daripada sumber rantaian nilai pengeluar padi atau usahawan padi,” katanya.

Mengulas lanjut, kata beliau, pencapaian peserta dalam Program SBB atau SBB Asnaf (SBBA) kendalian Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) sangat memberangsangkan kerana memberi peluang pekerjaan kepada mereka untuk keluar daripada kepompong kemiskinan.

Katanya, peladang yang menyertai program itu mampu meningkatkan pendapatan masing-masing susulan daripada pengurangan penglibatan orang tengah sepanjang rantaian nilai industri padi dan beras negara.

“Secara kesimpulannya, untuk melindungi keseluruhan rantaian industri padi, peranan agensi
penguatkuasaan terutamanya Kawal Selia Padi dan Beras perlu diperluas dan diperkukuh bagi mengurangkan ketirisan atau sebarang salah laku yang mungkin berlaku di peringkat pengurusan mahupun lapangan,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya