KANGAR: Kerajaan negeri pertimbang cadangan beruk kentoi atau nama saintifiknya macaca arctoides menjadi maskot Tahun Melawat Perlis 2024-2025.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Wan Badariah Wan Saad berkata, beliau sudah memberi cadangan kepada Jawatankuasa Induk Tahun Melawat Perlis supaya beruk kentoi dijadikan sebagai maskot.
Katanya, seperti sedia maklum, beruk kentoi sudah cukup sinonim dan ikonik dengan negeri ini.
“Saya sudah beri cadangan kepada Jawatankuasa Induk Tahun Melawat Perlis supaya menjadikan beruk kentoi ini sebagai maskot Tahun Melawat Perlis 2024-2025.
“Insya-Allah dalam masa terdekat kita akan putuskan perkara ini,” katanya.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan beruk kentoi atau nama saintifiknya macaca arctoides yang hanya ditemukan di negeri ini wajar disaran menjadi maskot Tahun Melawat Perlis 2024-2025.
Penyelidik beruk kentoi yang juga pengasas Perlis Nature & Wildlife, Syamil Abd. Rahman dilaporkan berkata, Perlis yang sememangnya menjadikan keindahan alam serta kekayaan biodiversitinya sebagai produk pelancongan dan pemilihan beruk kentoi sebagai maskot dilihat bertepatan dengan kempen promosi Tahun Melawat Perlis.
Menurut beliau, penduduk di negeri ini wajar berbangga kerana spesies ikonik itu jarang ditemukan di tempat lain dan semua pihak perlu mempunyai kesedaran menjaga kelestrian habitat hidupan liar secara bersama untuk memastikan spesies ini tidak pupus bagi tatapan generasi seterusnya.
Sebagai rekod, beruk kentoi hanya dapat ditemukan dengan populasi yang banyak di Wang Kelian sekali gus menjadikan spesies primat berkenaan endemik dan tidak ditemui di mana-mana tempat lain.
Kentoi mula disahkan penemuannya pada tahun 1992 oleh penyelidik WWF dan sejak itu ia tidak diberi kajian khusus selama hampir 27 tahun namun populasinya dilihat stabil kerana tidak berlaku fragmentasi habitat secara berleluasa.
Beruk kentoi mempunyai ciri-ciri unik dan tersendiri dengan wajah berwarna merah, berbulu tebal serta banyak menghabiskan masa di atas tanah untuk sering dilihat berkeliaran mencari makanan di kawasan tumpuan pelancong, Wang Kelian View Point.-UTUSAN