TANAH MERAH : Kerajaan komited dalam usaha memastikan bekalan makanan terutama beras mencukupi sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap import bahan mentah itu.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, bagi merealisasikan hasrat itu kerajaan sedia memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM3 bilion untuk meningkatkan infrastruktur berkaitan tanaman padi di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).
Menurutnya, usaha itu bertujuan menjayakan projek tanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun dalam kawasan MADA.
“Lepas ini kita sasarkan di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dalam usaha meningkatkan pengeluaran beras di negara ini.
“Usaha itu adalah selari dengan dasar agromakanan negara 2021-2023 yang berhasrat untuk meningkatkan pertumbuhan pendapatan dan kualiti hidup lebih baik bagi pengeluar makanan,” katanya kepada pemberita selepas majlis Sentuhan Agro Madani: ‘Walkabout’ Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan Ke Projek Kelompok Tanaman Jagung Kampung Paloh di sini hari ini.
Ahli Parlimen Kota Raja itu memberitahu, dengan jumlah rakyat negara ini seramai 35 juta, pihaknya perlu mengambil pelbagai pendekatan sebagai cabaran kerana ada sesetengah makanan atau tanaman tidak mampu ditanam di negara ini.
Katanya, kekangan teknologi terkini turut mempengaruhi pengeluaran hasil,
“Selain cuaca yang tidak sesuai antara faktor yang menghalang beberapa tanaman termasuk bawang, ubi kentang, kubis, kelapa dan soya tidak boleh ditanam secara meluas di negara ini.
“Sekarang eksport kita tidak seimbang dengan import dan perlu buat pelbagai usaha malah melalui lawatan saya ke Hungary, baru-baru ini, negara itu sanggup terima barangan kita untuk diedar ke Eropah,” ujarnya.-UTUSAN