KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan bahawa Projek Pakej D44 Pembinaan Rangkaian Paip Pembetungan (Pakej D44) bernilai RM393 juta yang sepatutnya siap pada Februari 2018 meliputi empat kawasan Parlimen di ibu negara akan disiapkan November ini.
Kelewatan projek ini disebabkan beberapa faktor seperti pertindihan kawasan kerja dengan pihak ketiga, penangguhan kerja semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), profil tanah tidak stabil dan bebatuan keras yang memberi kesan kepada produktiviti kerja serta isu kewangan pihak kontraktor.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad memaklumkan, projek itu sudah mula dibangunkan sejak 2014 dan sehingga kini mencapai kemajuan sebanyak 92.18 peratus.
Katanya, tarikh penyiapan asal adalah pada Februari 2018, namun, kontraktor diberi pelanjutan masa sehingga 22 November 2023 untuk menyiapkan kerja-kerja di tapak sepenuhnya.
“Kita sedia maklum kelewatan penyiapan projek mengundang rungutan daripada orang awam dan menimbulkan persepsi negatif ke atas pelaksanaan projek.
“Pihak kontraktor diarahkan untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi menyegerakan penyiapan kerja terutamanya di kawasan-kawasan kritikal seperti di hadapan Pasar Ayer Panas, Jalan Enggang, kawasan AU5 dan AU4 serta di Jalan Maktab,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan projek Pakej D44 hari ini.
Pada masa sama, beliau berjanji akan terus memantau prestasi dan kualiti kerja kontraktor dari semasa ke semasa.
“Kita komited untuk memastikan projek ini dapat disiapkan segera dan objektif penyediaan infrastruktur pembetungan yang lebih baik, berkesan dan efisien dapat dicapai yang seterusnya dapat menyumbang dalam menjaga sumber air dan alam sekitar negara,” katanya.
Beliau juga meminta agensi-agensi kementeriannya bekerjasama dengan pihak kontraktor Puncak Niaga untuk mencari jalan bagi mempercepatkan lagi projek tersebut.
“Matlamat akhirnya adalah membolehkan projek ini siap segera untuk kemudahan penduduk sebab ia tergendala begitu lama.
“Jadi, kita dimaklumkan bahawa projek ini dapat siap pada November ini, tetapi antara perkara saya minta adalah percepatkan proses ini dengan mengadakan perbincangan menyeluruh, saya harap untuk lawatan akan datang, perkara ini akan selesai,” katanya.
Projek D44 ini melibatkan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dengan Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) sebagai agensi pelaksana.
Ia merupakan sebahagian daripada inisiatif River of Life Greater KL untuk meningkatkan kualiti air sungai dengan penumpuan kepada kawalan pencemaran kumbahan di kawasan tadahan pembetungan Bunus.
Skop projek ini meliputi reka bentuk dan pembinaan rangkaian paip pembetungan sepanjang 55 kilometer, naik taraf dua stesen pam utama KLR 289 dan KLR 030 masing-masing kepada kapasiti baharu 650,000 PE dan 570,000 PE.
Sejumlah lapan unit loji akan dinaik taraf kepada stesen pam bagi melengkapkan sistem rangkaian paip pembetungan.
Projek ini turut melibatkan sejumlah 66 loji rawatan kumbahan awam sedia ada, loji-loji di tujuh premis Kerajaan serta lima stesen pam akan dinyahtauliah di akhir fasa pelaksanaan projek ini.
Pakej D44 melibatkan dua kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).
Ia meliputi kawasan Jalan Gombak, Setapak, Jalan Genting Klang, Jalan Ayer Panas, Jalan Ayer Keroh, Jalan Datuk Keramat, Jalan Gurney dan Jalan Maktab serta meliputi kawasan Kg Melayu Ampang, Jalan Kerja Ayer Lama, Taman Melawati, Kemensah, AU5, AU4, AU3, AU2, AU1 dan Jalan Enggang.-UTUSAN