JERANTUT: Kejadian kepala air Sungai Sepan menggemparkan seramai 70 orang penduduk membabitkan 11 buah keluarga apabila kediaman mereka dinaiki air sedalam satu setengah meter di Kampung Sempadan dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 2 pagi hari ini, air Sungai Sepan secara tiba-tiba naik dengan pantas dan terus melimpah masuk ke kampung tersebut sehingga penduduk tidak dapat menyelamatkan harta benda dan kebanyakan sehelai sepinggang lari ke balai raya berdekatan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kampung (JPKK) Sempadan, Samsuri Salamin berkata, hujan lebat turun bermula pukul 9 malam tadi sehingga berlanjutan ke pukul 12.30 pagi hari ini dan kebanyakan penduduk sudah pun nyenyak tidur sehinggalah terdengar jeritan jiran apabila air melimpah masuk ke ke dalam rumah.
“Kejadian ini berpunca kejadian kepala air Sungai Sepan yang berdekatan kira-kira 80 meter dengan kediaman penduduk apabila air dari anak Sungai Relai dan anak Sungai Cheka bertembung dan masuk ke sungai tersebut.
“Saya dan ahli JPKK terus bertindak menyelamatkan mangsa yang masih terkandas di rumah untuk dibawa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) balai raya kampung ini ketika awal kejadian sebelum anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Jerantut datang membantu,” katanya di Kampung Sempadan di sini hari ini.
Menurut Samsuri, kampung tersebut kerap dilimpahi air Sungai Sepan setahun dua kali ketika musim tengkujuh, manakala kejadian pantas hari ini amat mengejutkan kerana masing-masing penduduk tidak dapat menyelamatkan harta benda.
Suri rumah tangga, Rosmaliza Mohamed Shah, 43, berkata, ketika kejadian dia sudah pun tidur dan tidak menyangka langsung hujan lebat lebih tiga jam mengundang banjir kilat kemungkinan berpunca kepala air sehingga dia dan suaminya tidak sempat menyelamatkan harta benda.
“Kami terjaga apabila jiran menjerit dan melihat air sudah sedalam satu setengah meter memenuhi ruang dalam rumah dan cuma sempat menyelamatkan dokumen penting, manakala perabot, peralatan tidur dan barang di dapur ditenggelami air,” katanya.
Rosmaliza berkata, dia bersama suami dan tiga orang anak keluar menyelamatkan diri dengan dibawa oleh ahli JPKK ke balai raya di kampung itu, apabila kembali ke rumah pada pagi ini semua peralatan sudah berlumpur dan rosak. – UTUSAN