SEREMBAN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersedia untuk bekerjasama dengan kementerian lain termasuk Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dalam penghasilan inovasi serta teknologi baharu sebagai usaha berdepan jangkaan kenaikan harga ubat-ubatan dalam negara.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, langkah itu adalah bagi mengurangkan kebergantungan negara kepada ubat-ubatan import.
Bagaimanapun menurut beliau, Kementerian Kesihatan masih menunggu laporan daripada pihak farmasi berhubung isu jangkaan kenaikan harga ubat-ubatan tersebut.
“Kami masih menunggu laporan (kenaikan harga ubat-ubatan) daripada farmasi, tiada (setakat ini) apa-apa jawapan lagi. Kami melihat sudut ini (pembangunan dan penyelidikan) kolaborasi dengan agensi lain, MOSTI dan lain-lain untuk menghasilkan inovasi rawatan masa kini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Majlis Pelancaran MOH-IMU Seremban Diabetes (SeDia) Cohort Study di sini hari ini.
Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir turut berkenan berangkat ke majlis tersebut.
Baginda diiringi Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz yang juga Pengerusi Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) Health Sdn. Bhd.
Utusan Malaysia pada 26 Jun lalu melaporkan harga ubat-ubatan untuk pasaran dalam negara dijangka meningkat sehingga lima peratus susulan nilai ringgit yang terus lemah dan tidak stabil berbanding dolar Amerika Syarikat (AS$) sejak bulan lalu.
Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Amrahi Buang yang menyatakan, nilai ringgit yang melemah antara punca utama yang mempengaruhi harga ubat selain ketidaktentuan di peringkat antarabangsa seperti perang antara Rusia-Ukraine yang belum tamat.
Menurut Anrahi, ini kerana harga ubat di pasaran tidak dikenakan cukai, maka dengan kebanyakan ubat di negara ini diimport, kejatuhan ringgit akan mempengaruhi peningkatan harga.
Sementara itu, Dr. Zaliha memberitahu, pihaknya tidak mahu bersikap subjidis dalam isu badan pemikir kesihatan dan hak asasi kanak-kanak yang memfailkan saman terhadap Menteri Kesihatan dan kerajaan kerana menyahsenaraikan cecair nikotin daripada Akta Racun 1952.
“Kes itu sudah masuk ke mahkamah, jadi saya tidak mahu subjudis tentang perkara ini. Apa pun menjadi keutamaan kepada kementerian untuk menjaga kesihatan anak-anak.
“Tidak timbul masalah apabila kami keluarkan nikotin dari Akta Racun 1952, kami menyatakan nikotin bukan racun,” katanya.-UTUSAN.