PETALING JAYA: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu rakyat khususnya di Selangor membuktikan mereka menolak politik picisan dengan memberi kemenangan kepada gabungan parti kerajaan perpaduan dalam pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos nanti.
“Insya-Allah, kemenangan bergaya bagi gabungan perpaduan untuk rakyat mengangkat semangat perpaduan,’’ katanya melalui hantaran di Facebook selepas mengiringi calon-calon yang mewakili Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Gombak, semalam.
Terdahulu, Anwar tiba di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu bagi memberi sokongan kepada calon Kerajaan Perpaduan yang bertanding.
PEMIMPIN
Beliau diiringi beberapa pemimpin kerajaan antaranya Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.
Datuk Seri Amirudin Shari mewakili parti kerajaan perpaduan bertanding di DUN Sungai Tua, Datuk Megat Zulkarnain Omardin (Gombak Setia) dan Juwairiya Zulkifli (Hulu Kelang).
Sementara itu, selepas meninjau proses penamaan calon di Ampang Jaya, Anwar menyeru semua calon di enam PRN melaksanakan kempen dengan cara yang tersusun, sopan dan beradab.
“Alhamdulillah saya lihat proses baik, aman (serta) teratur dan calon-calon kemukakan (borang pencalonan) dengan baik. Insya-Allah, kita adakan kempen dengan cara tersusun, sopan dan beradab,” katanya.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai pertukaran calon PH di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara, beliau menyifatkan tindakan itu sebagai satu proses biasa dan dilaksanakan kerana ada keperluan.
Malah, Presiden PKR itu berkata, pertukaran saat-saat akhir juga berlaku di Terengganu dan Kelantan, namun beliau tidak memperincikan perkara itu.
“Itu proses biasa. Kalau ada apa-apa keperluan kita tukar…tidak ada masalah…ada satu di Terengganu dan Kelantan.
“Lagi pun calon Izuan (Muhammad Izuan Ahmad Kasim) ini Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor dan tidak ada calon AMK di Selangor.
“Oleh itu, kita rasa wajar dan AMK telah meminta saya pertimbangkan semula kerana ketiadaan calon mewakili AMK di Selangor. Jadi saya menyambut baik dan setakat ini nampak terkawal,” katanya.
Sebagai rekod, Anwar sebelum ini dilapor mengumumkan nama Aidi Amin Yazid pada malam pengumuman calon PRN bagi PKR Selangor di kerusi tersebut.
Bagaimanapun, Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari tengah malam semalam mengumumkan Muhammad Izuan menggantikan Aidi Amin. – UTUSAN