KUANTAN: “Selagi tidak jumpa, selagi itu kami sekeluarga akan melakukan solat hajat dan tidak putus berdoa supaya jasadnya ditemukan,” kata, Eiyi Johari, 60, datuk kepada mangsa ke-10 kejadian kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, Kemaman, Terengganu pada 1 Julai lalu, Putri Nor Fatin Karim, 14, yang belum ditemukan sehingga kini.
Eiyi berharap agar jasad cucunya itu segera ditemukan supaya jenazahnya dapat dikebumikan bersama lapan ahli keluarganya yang lain.
“Selagi tidak jumpa, selagi itu kami akan terus solat hajat. Ahli keluarga juga akan bergilir ke lokasi kejadian. Hari ini ada cucu di sana. Mungkin esok saya dan anak juga akan ke sana bagi melihat keadaan,” katanya ketika ditemui di Masjid Ubbudiah Felda Lepar Hilir 3 di sini hari ini.
Bagi nenek mangsa, Halimah Kasim, 63, berkata, mereka sekeluarga berharap cucunya itu dapat kembali untuk disemadikan bersama ahli keluarganya yang lain.
“Kalau boleh saya nak cucu saya itu ditemukan segera supaya kami dapat bawa balik dan kebumikan bersama ibu, ayah dan adik beradiknya,” katanya.
Bapa saudara mangsa, Mohammad Firdaus Mokhtar, 37, berkata, dia yang bekerja dan menetap di Kedah hanya akan pulang ke sana selepas segala urusan selesai termasuk bertemu dengan anak ketiga pasangan Karim Abdullah, 39, dan Azizah itu.
“Saya akan menunggu sehingga anak saudara saya ini ditemukan dalam apa jua keadaan sekali pun. Sama ada masih hidup ataupun sudah tiada, kami terima apa juga keadaan sekalipun,” katanya.
Dalam pada itu mereka sekeluarga merakamkan rasa terharu dan sebak atas kesudian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang sudi mencemar dulu melawat mereka.
Pada 4 Julai lalu, tujuh jenazah iaitu Azizah Eiyi, 40, Karim Abdullah, 39, dan lima anak mereka, Muhammad Zulqarnain Haikal, 11, Putri Nurerina Natasya, 10, Muhammad Haziq Ziqree, 6, Putri Aryana Umaira, 4, dan Putri Balqis Izzati, 18, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad.
Jenazah kelapan, Putri Alleya Maisarah, 16, pula dikebumikan pada keesokan harinya manakala mangsa kesembilan Muhammad Fikri Saliman, 24, Sabtu lalu di Batu Pahat, Johor.
Mangsa ke-10, Putri Nor Fatin, 14, bagaimanapun masih belum ditemukan sehingga ini. – UTUSAN