Kekalkan kenaikan 2% sehingga pelarasan gaji dibuat - Kupemas - Utusan Malaysia

Kekalkan kenaikan 2% sehingga pelarasan gaji dibuat – Kupemas

OMAR OSMAN (tengah) meminta kerajaan mengekalkan kenaikan tahunan dua peratus pencen pesara kerajaan di Larkin, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pertubuhan Pesara Kerajaan Malaysia (Kupemas) berharap kenaikan dua peratus pencen tahunan pesara kerajaan dikekalkan sehingga pelaksanaan pelarasan gaji baharu bagi penjawat awam dilakukan.

Pengerusinya, Datuk Omar Osman berkata, pelarasan gaji tersebut juga perlu memastikan manfaat diterima lebih sejuta pesara kerajaan adalah melebihi yang diterima pada ketika ini.

“Kira-kira 80 peratus daripada lebih sejuta ahli Kupemas adalah golongan dalam kumpulan M40 dan B40 serta ramai dalam kalangan mereka yang menerima gaji kira-kira RM1,000 ketika mereka bekerja dahulu. Jadi, kenaikan tahunan sebanyak dua peratus itu tidak terlalu besar, namun jika dihentikan tanpa sebarang pelarasan gaji baharu, ramai pesara kerajaan akan terjejas.

“Perkara itu tidak boleh dibiarkan berlaku kerana kos sara hidup ketika ini semakin meningkat dengan pelbagai tekanan ekonomi turut dirasai mereka,” katanya dalam sidang akhbar di Larkin, di sini hari ini.

Sebelum ini panel lima hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara memutuskan peruntukan yang membenarkan kenaikan kadar rata sebanyak dua peratus setiap tahun, bercanggah dengan Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan (perlindungan hak pencen) berbanding Akta Pelarasan Pencen 1980 sebelum ini.

Sehubungan itu, panel dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim menolak rayuan kerajaan dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan pindaan terbabit sebagai terbatal dan tidak sah.

Mahkamah Persekutuan berpendapat Mahkamah Rayuan telah membuat keputusan betul dalam mengekalkan status quo Seksyen 3 dan 6, iaitu sebelum pindaan 2013.

Omar berkata, Kupemas juga berharap kerajaan akan menyegerakan pelarasan gaji kakitangan awam yang secara tidak langsung akan turut memberi manfaat kepada pesara kerajaan ketika ini.

“Kita tidak mahu pesara kerajaan kehilangan manfaat yang diterima sejak 10 tahun lalu tanpa digantikan dengan apa-apa inisiatif lain dan kita juga tidak mahu kadar pencen yang diterima setelah kenaikan tahunan dua peratus itu dikembalikan kepada pencen asal.

“Kerajaan diharap tidak memandang ringan jasa dan pengorbanan yang telah dibuat golongan pesara sepanjang mereka berkhidmat, jangan biarkan mereka terus hidup dalam kemiskinan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya