SEREMBAN: Kedudukan Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai calon Menteri Besar sekiranya gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan akan dibincangkan bersama semua parti dalam Kerajaan Perpaduan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun mengakui, beliau berpuas hari dan gembira dengan prestasi yang telah diberikan oleh Aminuddin sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan selama lima tahun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat itu menjalankan tugasnya itu.
“Kami akan membincangkannya, tetapi saya gembira dan berpuas hati dengan prestasi yang telah beliau tunjukkan termasuk dalam soal governan dan menarik pelaburan.
“Parti komponen akan berbincang mengenainya tetapi beliau (Aminuddin) dilihat seperti poster boy kerana beliau merupakan Menteri Besar,” katanya kepada pemberita pada Majlis Amanat Perdana Menteri Kepada Penjawat Awam Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban di sini hari ini.
Sementara itu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, perbincangan mengenai pengagihan kerusi PRN di peringkat kepemimpinan parti terlibat sudah pun selesai dan keputusannya akan diumumkan tidak lama lagi.
“Di peringkat saya, berbincang dengan Anthony Loke Siew Fook (Setiausaha Agung DAP), (Ahmad) Zahid Hamidi, (Pengerusi BN) nampak selesai namun masih beri ruang untuk perbincangan di peringkat negeri sedikit lagi, di peringkat saya sudah selesai,” katanya lagi.-UTUSAN.