Kawasan hulu Sungai Kubang Tiga tercemar

Kawasan hulu Sungai Kubang Tiga tercemar

CHONGKUL Echang (kanan) meninjau keadaan air di hulu Sungai Kubang Tiga yang kehitaman dipercayai tercemar di Padang Besar, Perlis, semalam.-UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Air warna hitam dan terdapat juga ikan yang mati terapung. Itu situasi di kawasan hulu Sungai Kubang Tiga di sini yang didakwa tercemar sejak akhir tahun lalu dan terus berlarutan sehingga mengundang kebimbangan penduduk di sekitar situ.

Pencemaran sungai tersebut turut memberi kesan kepada petani yang ada di antara mereka mengalami kerugian sehingga RM30,000 akibat tanaman rosak selepas menggunakan sumber air dari sungai itu.

Pencemaran yang masih belum diketahui punca itu turut mengundang pencemaran bau.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penduduk, Mohd Saad Razak, 60, berkata, sungai di kawasan berkenaan sebelum ini sangat bersih, malah, kanak-kanak juga boleh mandi-manda dan melakukan aktiviti memancing sebelum berlakunya pencemaran.

Katanya, pencemaran tersebut bukan sahaja memberi kesan kepada sungai berkenaan malah bekalan sumber air telaga di rumahnya turut terjejas dengan permasalahan itu.

“Keadaan air berwarna kehitaman ini tidak berlaku setiap hari namun ia akan menjadi semakin teruk pada musim kemarau memandangkan tiada hujan pada waktu itu,” katanya.

Seorang pekebun sayur, Tiaw Koay Joo, 38, berkata, hasil tanamannya yang menggunakan sumber air dari sungai berkenaan turut terkesan dengan situasi pencemaran tersebut.

“Saya mengalami kerugian sekitar RM30,000 bagi satu pusingan disebabkan hasil tanaman seluas 14.222 ekar (20 relong) rosak disebabkan air tercemar itu.

“Saya menjalankan tanaman seperti timun, kacang panjang, bendi, bayam dan pelbagai lagi, namun, semua hasil tanaman ini terjejas dan menjadi kekuningan sebelum rosak disebabkan air sungai ini,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Chongkul Echang, 38, pula berkata, selain hasil tanaman, hidupan air seperti ikan di dalam sungai berkenaan juga kerap mati sejak permasalahan tersebut berlaku.

Katanya, air dari sungai itu juga turut memberi kesan kepada kulit manusia dan menyebabkannya menjadi kegatalan.

“Kami penduduk di sini berharap agar pihak berkuasa dapat menyiasat bagi mengenal pasti punca pencemaran ini yang menyebabkan kawasan hulu sungai di sini terjejas

“Sebelum ini juga ada pihak mendakwa pencemaran di kawasan rekreasi Bukit Jernih adalah disebabkan aktiviti pertanian dari Kampung Kubang Tiga namun sebenarnya penduduk setempat di sini juga terkesan dengan pencemaran itu,” katanya.

Tambah Chongkul, pihaknya juga pernah membuat aduan sebelum ini kepada pihak berwajib berhubung permasalahan itu namun ia dilihat masih berlarutan sehingga kini.

“Semasa saya buat aduan dulu, keadaan kembali pulih seketika dan kemudian permasalahan ini berulang kembali sekali gus menggusarkan penduduk setempat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya