Kadar elaun kursus anggota APM dinaikkan - Utusan Malaysia

Kadar elaun kursus anggota APM dinaikkan

ARMIZAN Mohd. Ali (tiga dari kanan) menyaksikan penyerahan bot kepada kerajaan Negeri Sembilan sempena Majlis Penutup CDLC Peringkat Kebangsaam 2023 di Pantai Batu 5, Port Dickson hari ini-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Kadar elaun kursus anggota sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dinaikkan daripada RM5 kepada RM40 sehari berkuat kuasa 1 Julai lalu. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, tambah baik kadar baharu itu melibatkan seramai 10,510 anggota sukarelawan APM di seluruh negara yang melibatkan peruntukan lebih kurang RM1.8 juta setahun. 

“Kadar elaun anggota sukarelawan APM yang mengikuti kursus dinaikkan daripada RM5 kepada RM40 sehari berkuatkuasa serta merta bermula 1 Julai lalu. Ini merupakan salah satu penambahbaikan sejak tahun 1970, kami melihat penyertaan dan kerjasama dalam kalangan masyarakat semakin meningkat.

“Ini juga dapat menggalakkan lebih ramai anggota sukarela melibatkan diri dalam latihan, kursus serta sijil pertahanan yang seterusnya dapat dikongsi kepada masyarakat,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penutup Civil Defence Beach Lifeguard Challenge (CDLC) Peringkat Kebangsaan 2023 di sini hari ini.

Yang hadir sama, Timbalannya, Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong dan Ketua Pesuruhjaya APM, Aminurrahim Mohamed. 

Armizan dalam itu menambah, pihaknya juga sedang melihat keperluan untuk mewujudkan perjawatan kontrak dalam APM bagi memperkukuhkan peranan agensi berkenaan dalam urusetia bencana jawatankuasa daerah dan negeri. 

“Di negeri dan daerah urusetia sekretariat kepada urusan bencana itu adalah APM. Walaupun APM adalah Kor Sukarelawan, kami memerlukan perjawatan kontrak yang melibatkan kerja-kerja merekod aset-aset iaitu perjawatan awam yang bertaraf kontrak. 

“Sekarang ia dalam proses untuk mengemukakan kepada agensi pusat bagi menambah perjawatan kontrak APM bagi memperkukuhkan fungsi APM kepada jawatankuasa bencana di peringkat negeri dan daerah,” katanya lagi.

Sementara itu, sebanyak 15 kontinjen pusat latihan, tiga pasukan daripada agensi luar dan lima pasukan Kadet Sekolah Pertahanan Awam (KASPA) yang melibatkan 402 orang peserta menyertai CDLC yang telah berlangsung selama tiga hari sejak 8 Julai lalu di Pantai Batu 5, Port Dickson. 

CDLC merupakan satu inisiatif APM bagi mengenal pasti tahap kemahiran dan kecergasan serta semangat berpasukan dalam kalangan anggota penyelamat pantai APM, memperkasakan prosedur dan tanggungjawab penyelamat pantai dan memupuk kesedaran kepada masyarakat awam berkaitan peranan APM yang merangkumi aspek keselamatan di kawasan pantai dan air.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya