KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Sersol Bhd., Datuk Justin Lim Hwa Tat menegaskan yang dirinya tidak mendapat sebarang notis daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas menyenaraikan dirinya sebagai individu yang dikehendaki bagi membantu dalam siasatan.
Ia bagi tujuan untuk merakam kenyataan di bawah seksyen 30 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
“Saya tidak pernah dihubungi oleh mana-mana pegawai SPRM yang mencari bantuan saya berkaitan dengan siasatan yang disebutkan serta tidak menerima notis tersebut baik dari tempat kerja mahupun di kediaman.” katanya.
Tambah Justin, beliau secara rasmi melantik Messrs. Gobind Singh Deo & Co. untuk mewakili dirinya sebagai wakil undang-undang semasa proses siasatan ini berlangsung.
“Sebagai seorang warganegara yang mematuhi undang-undang, saya berkomitmen untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan untuk membantu dalam siasatan dengan jujur dan telus, katanya di dalam kenyataannya hari ini.
Untuk rekod, Lim berada di bawah siasatan agensi antirasuah berhubung dakwaan pembayaran berjumlah RM2.5 juta yang dibuat kepada sebuah syarikat swasta bernama HGC Legacy Enterprise.
Tujuan pembayaran yang direkodkan sebagai deposit pada April dan Mei 2023 masih belum dimaklumkan kepada ahli lembaga pengarah, kata syarikat itu dalam pemfailan bursa pada 17 Julai lalu.-UTUSAN