JPN Kelantan serah laporan guru gigit pelajar kepada KPM

JPN Kelantan serah laporan guru gigit pelajar kepada KPM

MOHD. Hassany Hashim.-UTUSAN/ROSMIZAN RESDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan sudah menyerahkan laporan penuh kepada Kementerian Pendidikan (KPM) berhubung kes seorang guru sekolah di sini yang didakwa menggigit muridnya baru-baru ini.

Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran JPN Kelantan, Mohd. Hassany Hashim berkata, laporan itu bagi membolehkan pihak KPM melakukan siasatan menyeluruh berkait dakwaan tersebut.

“Saya tidak boleh komen lanjut berhubung kes ini memandangkan ia masih lagi dalam siasatan. Namun, sebaik sahaja kes itu diterima JPN Kelantan terus melakukan siasatan.

“JPN Kelantan hanya membuat laporan berdasarkan aduan sahaja dan tindakan lanjut diserahkan kepada KPM untuk menjalankan siasatan memandangkan perkara itu telah mendapat perhatian di peringkat atasan,”katanya kepada pemberita pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM 2022 di Sekolah Kebangsaan Padang Garong 1 di sini hari ini.

Mohd. Hassany memberitahu, berdasarkan laporan yang dibuat sebelum ini, guru berkenaan masih lagi menjalankan tugasnya seperti biasa.

Katanya, pertemuan bersama ibu bapa yang terlibat juga sudah dilakukan sebelum ini bagi melengkapkan laporan.

“Sebaik menerima aduan berkaitan perkara itu, kita telah mengadakan pertemuan yang diuruskan oleh pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bersama ibu bapa yang terlibat serta wakil JPN.

“Setakat ini, kita masih belum ada keputusan dan berdasarkan laporan guru berkenaan masih lagi bertugas seperti biasa, jadi kita serahkan keputusan berkenaan kepada pihak KPM,” ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan, emosi budak lelaki berusia enam tahun yang dipercayai digigit bibir dan ditarik mulut oleh gurunya dilihat tidak stabil selepas kejadian yang berlaku di sekolah kanak-kanak itu.

Ibu kanak-kanak tersebut yang dikenali sebagai Eyma Zaideen berkata, keadaan itu menyebabkan anaknya tidak mahu ke sekolah kerana trauma selain sering mengamuk dan hilang selera makan.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN