Johor yakin tarik 10 juta pelancong asing tahun ini - Utusan Malaysia

Johor yakin tarik 10 juta pelancong asing tahun ini

ONN HAFIZ GHAZI (kiri) mengadakan pertemuan dengan Tiong King Sing di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Negeri ini yakin dapat menarik kemasukan lebih 10 juta pelancong asing pada tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, keyakinan itu ekoran seramai 9.14 juta pelancong melawat negeri ini selepas sempadan antarabangsa dibuka pada April tahun lalu.

“Alhamdulillah, sejak pembukaan semula sempadan antarabangsa pada April 2022, Johor telah menerima 9.14 juta pelancong dan ia adalah jumlah tertinggi berbanding negara-negara Asia Tenggara yang lain.

“Oleh itu, kerajaan negeri optimis mampu mencapai sasaran ketibaan 10 juta pelancong pada tahun 2023. Justeru, kerjasama dan sokongan pihak kementerian serta agensi berkaitan dalam misi menjadikan Johor sebagai sebuah destinasi pelancongan utama negara mampu direalisasikan. Insya-Allah,” katanya dalam satu kenyataan selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing di Putrajaya hari ini. 

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri, K. Raven Kumar.

Onn Hafiz turut berterima kasih kepada King Sing atas peruntukan disalurkan kementerian itu bagi meningkatkan lagi sektor pelancongan di Johor.

“Kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya kerana bersetuju menyalurkan peruntukan RM3.5 juta bagi menaik taraf infrastruktur pelancongan di Johor.

“Johor merupakan sebuah negeri yang mempunyai potensi besar dalam sektor pelancongan. Keunikan Johor diserikan dengan keindahan pulau-pulau, taman-taman negara, warisan budaya dan sejarah, festival-festival ikonik dan syurga makanan.

“Sebagai contoh, daerah Mersing terkenal dengan keindahan pulau-pulaunya, taman-taman negara di Johor yang kaya dengan khazanah alam serta Kampung Sungai Melayu juga boleh dijadikan sebagai kawasan eko-pelancongan, adalah antara lokasi menarik yang mampu diketengahkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN