Johor isytihar cuti peristiwa pada Ahad - Utusan Malaysia

Johor isytihar cuti peristiwa pada Ahad

PENGISYTIHARAN cuti peristiwa bagi Johor diumumkan oleh Menteri Besar dalam Facebooknya, malam ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri mengisytiharkan esok (Ahad) sebagai hari cuti peristiwa sempena kejayaan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjuarai Piala FA 2023.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam laman sosial Facebooknya selepas skuad Harimau Selatan berjaya menewaskan KL City FC 2-0 pada pentas akhir Piala FA 2023 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), sebentar tadi.

Beliau berkata, cuti peristiwa itu telah diperkenankan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

“Syukur Alhamdulillah di atas kejayaan pasukan JDT kerana berjaya merangkul Piala FA 2023 menentang KL City dengan jaringan gol 2-0 serta mempertahankan kejuaraan tahun lalu dengan penuh gaya. 

“Menjunjung titah Sultan Ibrahim, dengan ini kerajaan negeri memutuskan untuk mengisytiharkan hari Ahad, 23 Julai sebagai Hari Cuti Peristiwa bagi seluruh rakyat negeri Johor sempena kejayaan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjuarai Piala FA 2023,” katanya.

Terdahulu, JDT berjaya memenangi kejuaraan Piala FA buat dua musim berturut-turut selepas menumpaskan skuad The City Boys.

Gol jaringan Hong Wan dan Leandro Velazquez pada babak kedua sudah memadai untuk membolehkan pasukan tereebut menjulang Piala FA edisi ke-33 itu.

Dalam pada itu, Onn Hafiz turut menjunjung kasih Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim atas segala perancangan serta usaha berterusan dalam membangunkan JDT menjadi sebuah kelab bola sepak yang disegani di Malaysia dan rantau Asia.

Katanya, ini adalah kali ketiga JDT menjulang Piala FA selepas memenanginya pada musim 2016 dan musim lalu.

“Kemenangan skuad Harimau Selatan ini merupakan piala kedua untuk tahun ini setelah memenangi Piala Sumbangsih awal tahun ini serta Piala FA ketiga buat JDT selepas 2016 dan 2022.

“Buat semua peminat JDT, teruslah memberikan sokongan penuh dan menjadi pemain ke-12 untuk setiap perlawanan yang akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya