JKR buat kajian atasi kesesakan di Johor Bahru - Utusan Malaysia

JKR buat kajian atasi kesesakan di Johor Bahru

MOHAMAD FAZLI MOHAMAD SALLEH (kanan) bersama Raub Selamat meninjau keadaan trafik di Lebuhraya Penyuraian Timur, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri akan melakukan kajian terperinci bagi menyelesaikan isu kesesakan trafik melibatkan lima laluan di sekitar bandar raya ini dalam masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, kesesakan itu berpunca daripada kerja pembinaan dua projek mega, iaitu Sistem Transit Rapid (RTS) dan landasan berkembar elektrik Gemas-Johor Bahru terutamanya di sepanjang Jalan Tebrau ke Jalan Tun Razak.

Menurutnya, lima laluan berkenaan ialah Jalan Stulang Laut, Jalan Lingkaran Dalam, Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL), Jalan Ibrahim Sultan dan Jalan Bukit Chagar.

“Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri Johor akan membuat satu kajian dalaman bagi mengenal pasti kesesakan yang berlaku melibatkan lima laluan utama terbabit, sekali gus mencari kaedah penyelesaian. Kajian itu dijangka selesai dalam tempoh beberapa minggu. 

“Selepas itu, barulah kita akan buat tindakan susulan di kawasan ini kerana kesesakan berlaku pada waktu tertentu seperti waktu puncak, cuti hujung minggu serta musim perayaan. Tindakan awal bagi mengurangkan kesesakan adalah meletakkan anggota polis bagi melancarkan aliran trafik selain menyurai laluan tertentu,” katanya selepas meninjau keadaan trafik di Lebuhraya EDL, di sini.

Yang turut hadir, Pengarah Projek RTS Link, Ir. Zulkifli Mohamed dan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat.

Dianggarkan 100,000 kenderaan melalui lima jalan terbabit setiap hari ketika ini  dan langkah menempatkan anggota polis di lokasi terbabit sejak bulan lalu sedikit sebanyak membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas pada waktu puncak.

Fazli berkata, perlu ada pelan tindakan bagi mengatasi isu tersebut memandangkan dua pembinaan projek mega ini dijangka siap pada 2026.

“Kita sediakan pelan jangka pendek, sederhana dan panjang berdasarkan tindakan hasil kajian. Anggota polis juga telah diletakkan mengikut waktu tertentu sehingga 50 anggota berbanding lapan anggota pada hari biasa.

“Bagi Jalan Abdul Razak ke Bangunan Sultan Iskandar melalui Jalan Storey /Jalan Bukit Chagar, ia akan ditutup pada waktu puncak, hari minggu dan cuti umum perayaan. Ia dibuka kepada orang awam pada hari biasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya