Jeti bot tambang retak menanti belah

Jeti bot tambang retak menanti belah

KEADAAN jambatan yang membahayakan pengguna yang menaiki bot tambang di Jeti Lubuk Cempedak, Langkawi. -UTUSAN/NUR AMALINA AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Jeti bot tambang di Lubuk Cempedak, Pulau Dayang Bunting, di sini ibarat retak menanti belah apabila struktur jambatan di fasiliti tersebut mula reput akibat dimamah usia.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, jeti tersebut digunakan oleh pelancong dan penduduk untuk berulang-alik ke pekan Kuah melalui Jeti Pelancongan Pekan Rabu, di sini.

Seorang pemandu bot tambang, Muhammad Irwan Abdul Rashid, 24, berkata, keadaan jeti yang usang itu dibimbangi akan membahayakan pengguna.

“Tiang-tiang yang menyokong jambatan yang menghubungkan jeti tersebut ke daratan sudah mula reput, dan dikhuatiri roboh sekiranya tiada kerja pembaikan dibuat.

“Jeti ini bukan sahaja digunakan penduduk, tetapi juga pelancong, kalau ada kejadian buruk terjadi kesannya bukan sahaja pada penduduk, tetapi kepada imej pelancongan Langkawi,” katanya ketika ditemui, semalam.

Sementara itu, seorang penduduk, Alias Basar, 39, berkata, jeti tersebut sudah berusia berpuluh tahun dan telah dinaik taraf daripada kayu kepada binaan batu semasa Allahyarham Tan Sri Sanusi Junid menjadi Menteri Besar pada tahun 1990-an.

“Beberapa tahun lepas ada pembaikan dibuat kerana jambatan di jeti itu kelihatan melengkung tetapi tidak lama kemudian ia rosak kembali dan tiada pembaikan dibuat sehingga kini, struktur jeti kini sudah rosak dan perlu diganti,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Tamin, 47, berkata, selain daripada Jeti Lubuk Cempedak, Jeti Bagan Pauh yang telah roboh pada April tahun lalu juga masih belum dibaiki.

“Ketika ini pengusaha bot tambang di Jeti Bagan Pauh terpaksa mengguna Jeti Lubuk Cempedak untuk membawa penumpang.

“Baru-baru ini ada dengar peruntukan bagi membaiki Jeti Bagan Pauh diluluskan, tetapi masih belum ada kerja dilakukan,” katanya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya