KUANTAN: Jenazah kelapan tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, Kemaman, Terengganu, Putri Alleya Maisarah Karim, 16, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Lepar Hilir 3 sekitar pukul 11.40 malam ini.
Jenazah Putri Alleya Maisarah yang dibawa menaiki van jenazah itu bertolak dari Unit Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kira-kira pukul 8.10 malam.
Jenazah tiba di pekarangan Masjid Ubbudiyah Felda Lepar Hilir 3 sekitar pukul 10.45 malam untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan bersebelahan kubur tujuh ahli keluarganya.
Sekitar pukul 11.52 malam semalam, tujuh jenazah iaitu Azizah Eiyi, 40, Karim Abdullah, 39, Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, Putri Nurerina Natasya Karim, 10, Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, Putri Aryana Umaira Karim, 4, dan Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad.
Terdahulu, mayat Putri Alleya Maisarah ditemui kira-kira pukul 3 petang kelmarin di kawasan beting jeran terbabit.
Dua lagi mangsa masih belum ditemukan iaitu Putri Nor Fatin, 14, dan tunang kepada Putri Balqis Izzati iaitu Muhammad Fikri Saliman, 24.
Dalam pada itu, bapa saudara mangsa, Mohd. Ismail, 36, berkata, dia berharap agar dua lagi mangsa dapat ditemukan secepat mungkin. – UTUSAN