JDT pecah rekod jaringan Liga Super

JDT pecah rekod jaringan Liga Super

ESTEBAN Solari memuji persembahan barisan pemain JDT pada aksi Liga Super menentang Kelantan FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan malam tadi-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARULZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Johor Darul Ta’zim (JDT) melakar sejarah baharu dalam arena bola sepak tempatan apabila berjaya memecahkan rekod jaringan Liga Super dengan meledakan 64 jaringan menerusi 17 kemenangan berturut-turut setakat ini.

Kemenangan 5-0 ke atas Kelantan FC  dalam aksi di Stadium Sultan Muhammad IV di sini malam tadi menjadi ‘pelengkap’ kepada Harimau Selatan untuk mencipta rekod baharu itu.

Musim lalu, skuad Harimau Selatan itu berjaya merekodkan 61 jaringan sepanjang 22 perlawanan dalam saingan Liga Super.

Pengendalinya, Esteban Solari berkata, kejayaan itu cukup menyenangkan, namun pujian harus diberikan kepada barisan pemain atas prestasi terbaik dipersembahkan pada setiap perlawanan.

“Kelab ini sentiasa memecahkan rekod tetapi saya mahu mengucapkan tahniah kepada barisan pemain kerana pada akhirnya, merekalah yang bekerja keras, memberi persembahan terbaik dan menjaringkan gol.

“Mereka (pemain) sentiasa mahu meningkatkan prestasi. Ia tidak akan terhenti di sini dan mereka akan terus memecahkan rekod kerana sentiasa mahu beraksi pada tahap terbaik,” katanya pada sidang media selepas perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.

Mengulas mengenai tindakan merehatkan beberapa pemain utama semasa JDT membelasah Kelantan FC, 5-0 malam tadi, Solari menjelaskan ia merupakan salah satu langkah persediaan bagi perlawanan akhir Piala FA nanti.

Katanya, beliau mengambil keputusan untuk melakukan penggiliran pemain untuk memberi ruang rehat kepada pemain-pemain utama sebelum berdepan Kuala Lumpur City FC (KL City) di pentas akhir nanti.

“Ia baik untuk pemain kerana mereka dapat ruang rehat dan memberikan masa perlawanan kepada pemain-pemain yang menyerlah dalam latihan tetapi kurang mendapat peluang untuk beraksi dalam perlawanan sebenar.

“Hari ini pemain-pemain yang diturunkan telah membuktikan mereka berhak untuk mendapat tempat dalam pasukan dan turut memainkan peranan penting. Mereka sentiasa mahu kami menjadi lebih baik dan ia cukup menggembirakan saya,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Solari mengakui gembira dengan kemenangan tersebut dan menganggap ia satu keputusan yang adil bagi kedua-dua pasukan.

“Berbanding perlawanan menentang Negeri Sembilan FC, saya lebih berpuas hati dengan kemenangan ini. Kami turun dengan mentaliti yang betul. Pemain-pemain juga berada dalam kondisi terbaik dan pasukan berada dalam mood yang bagus.

“Mengenai kesilapan-kesilapan dilakukan oleh pemain, ia merupakan sebahagian daripada penambahbaikan. Takut melakukan kesilapan akan menyukarkan proses kemajuan. Saya akan terus menyokong dan memberi kepercayaan kepada semua pemain,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya