PUTRAJAYA: “Jangan buang undi sebab anda dapat duit (rasuah),” itu nasihat bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada pengundi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos nanti.
Menurutnya, pengundi seharusnya lebih bertanggungjawab terhadap negara ini dan tidak tunduk kepada politik wang.
“Jika anda sayang negara ini, jangan jual negara kepada rasuah dan jangan libatkan diri dengan amalan rasuah,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis penutup Program Kepimpinan Perusahaan Kecil dan Sederhana di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini hari ini.
Pada masa sama, Dr. Mahathir berkata, beliau juga mencabar mana-mana pihak untuk membuktikan bahawa beliau pernah terbabit rasuah.
“Orang cakap saya juga pernah terbabit rasuah, buktikan perkara itu. Saya terbuka dalam hal itu dan anda boleh geledah mana-mana jabatan untuk siasat perkara itu.
“Jangan cuba merendahkan saya dengan mengaitkan saya cuba lawan rasuah, sedangkan saya pun terbabit rasuah. Itu satu dakwaan yang jahat,” katanya.
Sementara itu, pada sesi soal jawab bersama peserta program, Dr. Mahathir mendedahkan, kekalahannya di kerusi Langkawi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) juga disebabkan amalan rasuah.
“Saya pernah bertanya salah seorang pengundi di sana (Langkawi) yang juga kawan saya, kenapa anda tidak undi saya, dia menjawab saya tidak beri dia duit.
“Saya tanya lagi, berapa duit dia dapat, dia jawab RM100. Saya tanya dia, apa boleh buat dengan RM100 dan dia jawab duit itu boleh dibelanja untuk dua hari.
“Pada pilihan raya lalu, saya hilang lebih 14,000 undi hanya kerana rasuah. Sesiapa yang sayang dan ikhlas terhadp negara ini, mereka perlu memilih calon yang tepat untuk mewakili mereka,” katanya.
“Undi pada calon yang baik, parti yang baik dan parti yang ingin buat benda baik dan bermakna buat negara,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN membabitkan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah diadakan serentak pada 12 Ogos sebagai hari pengundian, dan penamaan calon pada 29 Julai.-UTUSAN