KANGAR: Pemimpin-pemimpin politik perlu menunjukkan contoh teladan yang baik khususnya dalam tempoh kempen menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan tidak kelirukan golongan belia atau muda dengan sentimen politik yang bukan-bukan.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd. Halim berkata, semua ahli politik ada tanggungjawab masing-masing dalam memberi pengalaman kepada orang muda dengan benda-benda bermanfaat yang boleh menarik minat mereka terhadap politik.
“Jangan kali pertama nak undi (orang muda) ini terjebak dengan perkara-perkara tidak sihat politik bersifat tohmahan, kasar, caci maki dan sebagainya yang mengelirukan mereka.
“Pemimpin politik ini berkempen perlu memberi kebaikkan dan manfaat khususnya kepada golongan belia. Jangan kelirukan golongan muda ini dengan sentimen politik yang bukan-bukan,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian sambutan Hari Belia Negara peringkat negeri ini di UTC di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, Adam Adli yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan turut memaklumkan mengenai kelulusan peruntukan sebanyak RM400,000 untuk menaik taraf litar motorcross di Sungai Batu Pahat di sini.
Sementara itu, Adam Adli berkata, golongan belia perlu menggunakan peluang dalam PRN membabitkan enam negeri itu untuk menyatakan pendapat mereka melalui undian.
Katanya, gunakan kesempatan tersebut dengan memilih kerajaan negeri yang sesuai dengan keperluan kehidupan mereka.
“Golongan belia dengan sikap yang kritikal boleh membuat perbandingan yang sihat dalam memilih dalam PRN tidak lama lagi,” katanya.
Terdahulu ketika berucap, beliau memberitahu, Kementerian Belia dan Sukan melalui Jabatan Kerja Raya sedang melaksanakan projek naik taraf infrastruktur stadium utama Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra termasuk pembinaan trek balapan baharu bernilai RM8 juta.
Katanya, di bawah projek sama, kementerian juga meluluskan peruntukan untuk membina baharu padang bola sepak sintetik di dalam kompleks berkenaan dengan nilai RM3.8 juta.
“Ia merupakan padang sintetik pertama dibangunkan di Kangar.
“Selain itu, anak muda juga menantikan pembukaan semula Kompleks Kolam Renang negeri yang telah ditutup kerana kerja-kerja naik taraf lebih setahun lalu melalui peruntukan disediakan sebanyak RM1.9 juta.
“Kompleks ini dijangka dibuka semula untuk kegunaan awam pada Ogos ini. Sehubungan itu, kementerian melalui Jabatan Belia dan Sukan negeri bersetuju untuk memberikan peluang kepada warga Perlis menggunakan kemudahan di kompleks ini secara percuma selama dua minggu,” katanya.-UTUSAN