ISKANDAR PUTERI: Jalan Forest City-Lebuh Tanjung Pelepas, dekat sini mendap dan tidak boleh dilalui petang ini.
Walau bagaimanapun, kejadian itu tidak melibatkan sebarang mangsa.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Iskandar Puteri, Pegawai Bomba Kanan II, Hairulnizam Mohd. Noh berkata, pihaknya menerima laporan pada pukul 2.09 petang dan seramai tujuh anggota berserta sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, didapati telah berlaku kejadian tanah mendap melibatkan kawasan jalan raya utama sepanjang 25 meter. Anggota telah membuat pemantauan bagi memastikan keadaan sekeliling selamat sebelum kawalan lalu lintas diserahkan kepada pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Sementara itu, pihak pengurusan Forest City dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya akan melakukan siasatan dan sedia memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa tempatan tentang kejadian tersebut.
“Kejadian itu dilaporkan berlaku kira-kira pukul 2 petang tadi. Sebaik sahaja dimaklumkan, kita telah menghantar pasukan teknikal ke lokasi kejadian selain turut memaklumkan pihak berkuasa.
“Siasatan akan dibuat bagi mengenal pasti punca kejadian. Kerja baik pulih akan dilaksanakan secepat mungkin dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan menerusi media sosial Forest City dari semasa ke semasa,” demikian menurut kenyataan tersebut. – UTUSAN