KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemimpin dunia Islam boleh bertegas dalam mempertahankan dan menegakkan agama serta kebajikan masyarakat Islam dan pada masa sama menjaga hubungan baik dengan kaum dan penganut agama lain.
Hal itu antara pesanan ulama berpengaruh Allahyarham Dr. Syeikh Yusuf al-Qaradawi kepada Perdana Menteri sepanjang persahabatannya yang dipegang sehingga hari ini.
Jelas Anwar, pesanan tersebut dititipkan al-Qaradawi dalam pertemuan di Qatar yang pada masa sama Perdana Menteri ada mengadakan perjumpaan dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry.
Menurut beliau, pertemuan tersebut turut disertai oleh bekas Naib Presiden AS, Hillary Clinton.
“Selepas itu saya makan dengan Syeikh al-Qaradawi. Berbeza dengan orang (lain) yang berkata (menuduh) Anwar baik dengan Amerika, itu dan ini, beliau tidak. Beliau pendekatannya lain.
“Beliau tanya berbincang soal apa dan beliau kata teruskan Anwar, kita perlu dalam kalangan pemimpin umat Islam yang boleh menyampaikan pandangan kita,” katanya pada Majlis Peluncuran Buku Syeikh Yusuf al-Qaradawi Sebuah Autobiografi Sang Pelita Umat, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, al-Qaradawi melontarkan pandangan berbeza dengan tohmahan diterimanya yang turut menggelarnya sebagai alat, perkakas bahkan ejen AS.
Jelasnya lagi, al-Qaradawi mempertahankan tindakan beliau menjalin hubungan baik dengan dunia barat, malah turut menggalakkannya.
“Beliau kata pada saya, Anwar, tak ramai orang buat begitu di dunia Islam, harus jadikan ini tugas dan memanfaatkan kekuatan.
“Tegas dalam soal Islam jaga soal Islam, akhlak Islam bawa satu contoh yang baik tapi pertahankan keperluan kekalkan jalinan dengan semua pihak termasuk AS and Eropah. Itu menakjubkan daripada seorang alim, seorang pemikir, seorang syeikh,” katanya.
Pada masa sama, Anwar Ibrahim menekankan kepentingan karya besar yang dihasilkan ilmuan Islam dijadikan rujukan dalam menyelesaikan permasalahan yang ada pada hari ini.
Perdana Menteri berkata, ramai yang membicarakan pelbagai isu termasuk soal Melayu dan Islam, namun tidak semuanya membaca mengenai perkara yang dibangkitkan.
“Dalam pertarungan kegalauan pemikiran dalam dunia sekarang, semua bicara soal Melayu, Islam dan sejarah Kedah dan Pulau Pinang, tapi tidak semuanya membaca dan menelaah. Itu masalahnya.
“Sebab itu, merujuk kepada karya besar adalah satu keperluan, membaca dan menelaah. Tidak mungkin seorang guru, pemimpin, apa lagi Perdana Menteri yang harus serba tahu.
“Jadi, harus ada sikap untuk mendengar dan sentiasa membaca khazanah ilmu yang ada,” katanya.-UTUSAN