SEREMBAN: Keputusan PKR untuk menampilkan calon baharu di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan adalah turut mengambil kira keperluan perlunya calon wanita diberikan tempat pada pilihan raya kali ini.
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menjelaskan lagi, parti itu melihat perlunya ada keseimbangan dalam calon yang diketengahkan termasuk di enam buah kerusi yang ditandingi bagi mewakili Pakatan Harapan (PH) di Negeri Sembilan.
“Di peringkat parti kami mahu pastikan ada keseimbangan ada calon yang baharu, supaya ada penyertaan calon wanita yang lebih tinggi, kalau tidak, tidak cukup, dulu sebelum Kerajaan Perpaduan, PKR boleh bertanding banyak kerusi, 15 sehingga 20 kerusi, sekarang ini ada enam sahaja.
“Jadi enam itu kami pastikan paling kurang satu pertiga itu wanita dan di Negeri Sembilan ada enam (kerusi) dua (calon) wanita satu pertiga jadi seseorang perlu mengundurkan diri
“Keputusan itu bukan soal siapa dapat tidak dapat, ia keputusan parti dan sesiapa yang naik menjadi wakil rakyat ia memang tertakluk kepada keadaan itu,” katanya selepas Jelajah Madani DUN Sikamat di Taman Megaway, di sini malam tadi.
Semalam penyandang kerusi DUN Ampangan, Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab Malek mendakwa namanya tidak dicalonkan sebagai calon PKR bagi mewakili PH di kerusi itu atas arahan dua pemimpin berkepentingan dalam parti iaitu Rafizi dan Naib Presiden PKR, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Mohamad Rafie yang memilih bertanding sebagai calon Bebas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 kali ini memberitahu, perkara tersebut dimaklumkan sendiri oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga memberikan alasan Rafizi dan Aminuddin menolak pencalonan dirinya.
Menjawab dakwaan itu, Rafizi menjelaskan, senarai akhir siapakah calon PKR memang diputuskan oleh Presiden malah beliau sendiri tidak mengetahui senarai itu sehinggalah ia diumumkan.
“Pemilihan calon ini telah melalui pelbagai peringkat, ada tiga peringkat tapisan sebelum ia diputuskan oleh Perdana Menteri (Anwar), pertama kita buka kepada semua dan semua calon akan ditapis oleh jawatankuasa calon, jawatankuasa calon itu saya pengerusikan sebagai Timbalan Presiden dan juga pengarah pilihan raya.
“Kemudian kami senarai pendek setiap satu kerusi itu tiga orang, kemudian itu saya bawa terus kepada Anwar dan memang kita lalui proses yang saya bincang dengan beliau satu persatu berdasarkan senarai pendek itu kemudian yang terakhir di peringkat biro politik. Senarai akhir itu diputuskan oleh Anwar sendiri, saya pun tidak tahu senarai akhir itu sehingga diumumkan pada hari itu.
“Saya harap tidak mainkan isu-isu emosi seperti ini, memang apabila digugurkan, pelbagai cerita boleh dikeluarkan tapi sebenarnya. proses dalam PKR itu cukup telus, memang ada yang tergelincir apabila tak dapat (menjadi calon),” katanya yang turut berharap pengundi-pengundi di DUN Ampangan dapat memahami dan membezakan perkara yang berlaku.-UTUSAN.