KUALA PILAH: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut tidak ketinggalan membantu kempen calon-calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15 ketika ini.
Salah seorang calon itu ialah Datuk Ismail Lasim yang merupakan calon BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Senaling di Kuala Pilah.
Jelas Ahli Parlimen Bera itu, Ismail merupakan rakan sekelasnya ketika melanjutkan pelajaran dalam jurusan undang-undang di Universiti Malaya pada tahun 1980 sehingga tahun 1985.
“Tok Mail (Ismail Lasim) adalah kawan sekelas saya. Beliau sudah berpengalaman menjadi wakil rakyat dan ini merupakan kali kelima beliau bertanding. Daripada segi kemampuan, beliau tiada masalah kerana mempunyai pengalaman begitu lama.
“Beliau memang dikenali oleh penduduk di sini, kita hendak menang dan ia bergantung kepada pengundi kerana itu saya hadir ke sini supaya pengundi boleh membantu BN untuk menang, setakat ini kawasan ini adalah kawasan BN,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan walkabout di Bazar Pekan Kuala Pilah hari ini.
Bekas Naib Presiden UMNO itu turut memberitahu, pada hari ini beliau akan membantu kempen calon BN di Negeri Sembilan
“Saya masih lagi Ketua UMNO Bahagian Bera jadi memang saya akan turun menyokong calon BN untuk menang,” katanya lagi.
Sementara itu, Ismail Lasim memberitahu, beliau yakin untuk memenangi kerusi DUN Senaling memandangkan beliau sudah dikenali dalam kalangan masyarakat kawasan berkenaan,
Jelasnya, beliau yang sudah mula menjadi wakil rakyat di kawasan itu sejak tahun 1999 sehingga 2018 sebelum menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh pada 2018 hingga 2023.
“Walaupun saya bertukar DUN sebelum ini, saya yakin masyarakat di DUN Senaling akan memberi saya peluang sekali lagi untuk mewakili mereka. Pengalaman saya selama empat penggal beri kelebihan di sini sebab itu saya kenal masyarakat di sini,” katanya.
Pada PRN ke-15 ini, Ismail akan bertembung dengan calon Perikatan Nasional (PN), Amrina Mohd. Khalid di DUN Senaling yang mempunyai seramai 9,899 jumlah pengundi.–UTUSAN.