Institusi muzium bentuk jati diri, perpaduan masyarakat yang positif 

Institusi muzium bentuk jati diri, perpaduan masyarakat yang positif 

AARON Ago ketika berucap di Majlis Perasmian Sambutan Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2023, di Muzium Budaya Borneo (BCM) Kuching hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Institusi muzium di Malaysia memainkan peranan yang penting dalam pembentukan jati diri dan perpaduan masyarakat yang sihat, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang. 

Jelasnya, muzium merupakan antara penyumbang utama kepada kesejahteraan dan pembangunan mapan masyarakat di seluruh dunia. 

“Sebagai institusi yang dipercayai dan merupakan rangkaian penting dalam fabrik sosial sesebuah negara, kewujudan muzium ditempatkan secara unik untuk mencipta kesan yang lebih komprehensif dan memupuk perubahan positif kepada orang ramai. 

“Oleh itu, di peringkat Kementerian Perpaduan Negara, kami sentiasa menyokong dan mendokong usaha Jabatan Muzium Malaysia dalam mengangkat dan memartabatkan institusi permuziuman sebagai entiti penting di negara ini. 

“Justeru, anjuran sambutan Hari Muzium Antarabangsa membuktikan bahawa kesatuan dan kerjasama di antara muzium dan institusi lain yang terlibat serta penglibatan masyarakat mampu menyumbang kepada pembangunan sosial yang berterusan, khususnya dalam pembentukan dan pengukuhan jati diri masyarakat,” ujarnya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Sambutan Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2023 di Muzium Budaya Borneo (BCM) Kuching hari ini. 

Tambahnya, Ia sejajar dengan matlamat utama Dasar Perpaduan Negara bagi memupuk, mengukuh dan memelihara perpaduan dalam kalangan rakyat.

“Ia juga signifikan dengan pembangunan masyarakat MADANI yang berteraskan integrasi nasional berdasarkan aturan hidup, menghindari konflik dan permusuhan yang boleh menyebabkan perpecahan.

“Identiti Malaysia sememangnya terkenal di peringkat antarabangsa sebagai sebuah negara majmuk, harmoni dan progresif. Justeru, institusi permuziuman di Malaysia harus memainkan peranan mereka yang sangat penting dalam mengekalkan dan melindungi khazanah sejarah dan budaya, sekaligus menjadi agen pengukuhan jati diri masyarakat yang demokrasi dan berdaulat,” tegas Aaron. 

Pada masa yang sama masyarakat turut bertanggungjawab bersama dalam melestarikan khazanah warisan negara ke arah pembangunan dan kesejahteraan mampan masyarakat. 

“Saya menyeru kepada semua komuniti muzium di Malaysia untuk menonjolkan keunggulan muzium di setiap negeri masing-masing dengan menggunakan pelbagai medium terbaharu dan terkini sejajar dengan pembangunan Pelan Strategik Pendigitilan Sektor Awam (PSPSA) 2021-2025, agar fungsi dan peranan muzium masing-masing dapat dicapai oleh orang awam khususnya generasi muda.

“Ia sekali gus terus komited menterjemahkan hala tuju kementerian dalam melaksanakan program-program penyatupaduan masyarakat melalui penghayatan sejarah, seni dan budaya selaras dengan dasar-dasar yang digariskan,” katanya.

Jabatan Muzium Sarawak sekali lagi dipilih menjadi tuan rumah selepas penganjuran kali pertama pada tahun 2003 dan kali kedua pada tahun 2013. Tema sambutan kali ke-27 ini ialah Muzium, Kemapanan dan Kesejahteraan. Pada tahun ini, sebanyak 27 buah muzium negeri dan agensi mengambil bahagian dalam sambutan pada tahun ini yang melibatkan seramai 800 orang kontinjen.

Sambutan berkenaan diterajui Kementerian Perpaduan Negara melalui Jabatan Muzium Malaysia yang diraikan secara bergilir-gilir bersama muzium-muzium negeri dan institusi yang bergabung di bawah Persatuan Muzium Malaysia pada setiap tahun.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya