Ikan buntal: PKD Kluang, JKNJ diminta hantar segera laporan - Utusan Malaysia

Ikan buntal: PKD Kluang, JKNJ diminta hantar segera laporan

LING TIAN SOON berbual dengan beberapa pesakit luar yang mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Ayer Hitam di Batu Pahat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kluang dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) diminta menghantar segera laporan tentang perkembangan kertas siasatan kes kematian pasangan suami isteri warga emas yang meninggal dunia selepas memakan ikan buntal, Mac lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, laporan siasatan tentang kejadian itu telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan lanjut pada penghujung Mei lalu namun belum mendapat maklum balas daripada pihak berkenaan.

“Saya mengambil maklum, sidang media waris pasangan warga emas terbabit di Kluang semalam. Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kluang dan JKNJ telah diminta menghantar laporan tentang perkembangan kertas siasatan kes tersebut. 

“Saya dimaklumkan siasatan oleh PKD Kluang telah selesai dan laporan telah dihantar ke JKNJ. Seterusnya JKNJ sudah menghantar laporan terbabit kepada DDP agar tindakan selanjutnya dapat diambil.

“Namun, belum ada sebarang maklum balas daripada pihak pendakwaan. Saya harap tindakan undang-undang dapat diteruskan secepat mungkin,” katanya mengulas gesaan anak pasangan tersebut, Ng Ai Lee, 51, yang meminta supaya laporan siasatan tentang kes itu diserahkan segera kepada pihaknya.

Tian Soon berkata demikian semasa ditemui selepas mengadakan lawatan di Klinik Kesihatan Ayer Hitam, di sini hari ini. 

Dalam insiden  Mac lalu, pasangan warga emas, Eng Kuai Sin@ Ng Chuan Sing, 84, dan ibunya, Lim Siew Guan, 83, meninggal dunia dipercayai mengalami keracunan selepas memakan ikan buntal goreng yang dijual seorang peniaga.

Dalam itu, Tian Soon mengakui wujud kekangan daripada segi akta kerana terdapat dua akta berbeza, iaitu Akta Makanan 1983 dan Akta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia 1972 tentang larangan penjualan ikan buntal yang mengandungi toksin berbahaya.

“Seharusnya ada penambahbaikan dari segi akta tersebut. Saya pernah suarakan perkara tersebut dalam mesyuarat Exco bersama Menteri Kesihatan sebelum ini. 

“Sewajarnya Kementerian Kesihatan (KKM) mempunyai kuasa mutlak untuk ambil tindakan. Pada masa sekarang, terdapat percanggahan antara KKM dan Jabatan Perikanan. 

“Oleh itu, saya minta KKM tambah baik akta sedia ada supaya penguatkuasaan lebih jelas dan tindakan dapat diambil tanpa pertindihan kuasa jabatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya