SEREMBAN: Saksi kelima yang merupakan ibu kepada salah seorang mangsa kes amang seksual melibatkan pendakwah selebriti, Pencetus Ummah (PU) Azman yakin anaknya tidak songsang sebaliknya telah dipaksa oleh tertuduh.
Wanita berusia 45 tahun dan berniaga pasar malam berkata demikian ketika memberi keterangan dalam prosiding hari kedua kes tersebut di hadapan Hakim, Datin Surita Budin di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini.
Menurut wanita itu, anak lelakinya yang kini berusia 18 tahun memberitahu telah dicabul oleh PU Azman atau nama sebenarnya Azman Syah Alias, 42, dalam perbualan di dapur rumah mereka di Klang, Selangor antara 21 hingga 29 Ogos 2022.
“Dia (anak) lelaki normal, saya tahu anak bukan macam itu (songsang). Dia cakap PU Azman pegang-pegang tetapi dia tidak kata pegang di mana mungkin dia segan nak cakap.
“Saya terkejut dan tergamam bila dapat berita ini, anak kata jangan beritahu ayah sebab dia tahu ayahnya tegas,” katanya di sini hari ini.
Katanya, dalam tempoh seminggu tersebut anaknya mendapat cuti sakit selepas terlibat dalam kemalangan motosikal dan hanya berada di rumah.
Saksi itu berkata, dia yakin anak kedua daripada lima beradik itu tidak menipu dalam kes menjadi mangsa amang seksual PU Azman walaupun dia hanya mengenali penceramah itu di televisyen.
Dalam pada itu ketika disoal oleh peguam yang mewakili PU Azman, Fahmi Adilah bahawa adakah dia mengetahui anaknya pernah meminta wang daripada tertuduh.
Wanita itu menjawab tidak tahu, namun satu transaksi wang berjumlah RM200 pernah dimasukkan ke dalam akaun banknya daripada pengirim bernama Azman Syah pada 27 Ogos 2022 dengan rujukan rawatan kemalangan.
“Masa itu saya tidak tahu nama sebenar PU Azman adalah Azman Syah Alias, anak hanya minta nombor akaun bank kerana nak pulangkan duit sebab tersalah buat pesanan.
“Saya pun tidak tanya lanjut, anak kata kawan yang masukkan duit, lepas 2 September 2022 baru saya tahu nama sebenar PU Azman daripada pegawai polis,” katanya.
Dalam pada itu, saksi keenam berusia 20 tahun yang merupakan kenalan kepada salah seorang mangsa dilihat kurang selesa ketika memberi keterangan berikutan kehadiran PU Azman dalam kandang tertuduh.
Menurut remaja lelaki itu, dia sendiri menjadi mangsa seksual PU Azman dan mengetahui salah seorang rakannya turut menjadi mangsa selepas bertanya sendiri bagi mendapatkan kesahihan.
“Saya yang tanya pada dia (mangsa) sebab dia rapat dengan Cik Man (PU Azman), selepas saya sendiri kena gangguan seksual. Kejadian itu berlaku di rumah saya di Klang pada 10 Jun 2022, masa itu ada ibu, adik, saya, dia (mangsa) dan Cik Man,” katanya.
Mahkamah kemudian memutuskan prosiding perbicaraan dijalankan secara tertutup selepas saksi keenam itu dilihat tidak selesa yang mana PU Azman diperintahkan duduk di bahagian belakang (kerusi orang awam) dan dihadang dengan tirai.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi, Husni Fairos Ramly dan Goh Hsiao Tung manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Zahid Ahmad, Fahmi Adilah dan Norman Mohd Nasir.
Peguam, Mohamad Zahid yang ditemui di luar mahkamah berkata, prosiding secara tertutup itu merupakan prosedur biasa memandangkan kes tersebut berkaitan amang seksual.
Beliau juga memaklumkan saksi keenam merupakan salah seorang mangsa yang membuat laporan polis berkait kes melibatkan tertuduh sama di Klang, Selangor.
Seramai 26 orang saksi dijangka akan dipanggil sepanjang kes perbicaraan tersebut yang bermula hari ini hinga 28 Julai depan.
Pada 12 Oktober 2022 , PU Azman didakwa atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai tahun lalu.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa remaja lelaki berusia 16 dan 17 tahun dengan cara melakukan perbuatan kelucahan melampau.
Kesalahan itu dilakukan di tandas dan ruang tamu sebuah rumah di Taman Tiara Sendayan di Nilai pada 6 Julai tahun lalu.
Selain itu, PU Azman turut berdepan tujuh lagi pertuduhan berhubung kesalahan jenayah seksual yang didakwa dilakukannya terhadap dua kanak-kanak dan seorang remaja di Mahkamah Shah Alam, Klang dan Ampang.-UTUSAN.