KOTA BHARU: Polis Kelantan masih belum menerima sebarang laporan berkait dakwaan seorang murid berusia enam tahun yang digigit dan ditarik bibir gurunya sebagaimana dilaporkan oleh pihaknya media semalam.
Ketua Polis negeri Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, hasil semakan yang dilakukan melalui Ketua Polis Daerah mendapati tiada sebarang laporan diterima setakat ini.
“Oleh itu, kita minta ibu berkenaan supaya tampil membuat laporan bagi memboleh polis menjalan siasatan berhubung dakwaan tersebut.
“Sekiranya dia (ibu) mampu mengambil tindakan lanjut (undang-undang), laporan polis perlu dibuat,” katanya kepada pemberita semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, seorang ibu kecewa apabila ada dalam kalangan guru mendakwa tindakan seorang guru lelaki menggigit dan menarik bibir anak lelakinya berusia enam tahun dalam kejadian di sebuah sekolah pada Khamis lalu dengan niat bergurau.
Eyma Zaideen berkata, tindakan itu bukan bersifat ‘gurauan’ sebaliknya membuli apabila anak ketiga daripada empat beradik itu menjadi takut.
Sebelum itu, Kementerian Pendidikan (KPM) memohon semua pihak menghormati dan memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan penuh berhubung kes seorang pelajar digigit guru di sebuah sekolah di pantai timur baru-baru ini.
Menurut Menterinya, Fadhlina Sidek, KPM peduli dan memberi jaminan akan menyiasat sebarang aduan melibatkan keganasan, buli dan sebagainya yang membabitkan pelajar-pelajar.-UTUSAN