JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri dengan bantuan Kementerian Kesihatan akan mengguna pakai sebuah bangunan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini yang sudah terbiar lebih 20 tahun lalu bagi menempatkan unit pentadbiran.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, langkah tersebut bagi membantu mengurangkan kesesakan di kawasan poliklinik HSA dan memberi keselesaan kepada para petugasnya.
Menurutnya, hasil tinjauan yang dilakukan sebelum ini, beberapa cadangan telah dikemukakan dan dipersetujui supaya bangunan yang terbiar itu diguna pakai.
“Antara perkara yang akan dilakukan ialah memindahkan unit pentadbiran ke bangunan ‘sister mess’.
“Sementara itu, ruang bahagian pentadbiran sedia ada akan dinaik taraf menjadi Klinik Kardiotorasik dan Klinik Pembedahan Plastik,” katanya dalam hantaran terbaharu menerusi Facebooknya selepas mengadakan lawatan ke HSA hari ini.
Sebelum ini, Onn Hafiz telah membangkitkan perkara itu selepas melawat bangunan kosong tersebut yang dilihat mampu dimanfaatkan, sekali gus menampung kapasiti pesakit yang tinggi.
Dalam pada itu, Menteri Besar itu berkata, bilik ekokardiogram atau lebih dikenali sebagai echo akan diletakkan di Klinik Kardiotorasik yang baharu bagi memudahkan pesakit menjalani rawatan.
“Saya harap usaha ini dapat mengurangkan kesesakan di kawasan poliklinik HSA,” katanya. – UTUSAN