KUANTAN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan orang ramai berhati-hati membawa keluarga ke tempat tidak dikenali bagi mengelak kejadian kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, Kemaman, Terengganu, Sabtu lalu berulang.
Al-Sultan Abdullah juga mengingatkan orang ramai supaya memeriksa keselamatan di lokasi terbabit.
“Saya ingat kejadian yang berlaku itu tidak boleh menyalahkan mana-mana pihak sebab ia adalah bencana. Ini kerana bencana boleh berlaku di mana-mana sekalipun.
“Cuma saya harap berhati-hatilah, kalau hendak pergi tempat yang kita tidak kenal tempatnya, elok periksa dulu (keselamatan) sebelum bawa keluarga ke tempat baharu, itulah peringatan saya,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika ditemui pemberita selepas mencemar duli melawat waris mangsa tragedi kepala air di Jeram Mawar di Masjid Ubbudiah di sini hari ini.
Al-Sultan Abdullah turut menyampaikan sumbangan kepada waris mangsa selain turun berkenaan menyertai majlis tahlil di masjid itu.
Pada 4 Julai lalu, tujuh jenazah iaitu Azizah Eiyi, 40, Karim Abdullah, 39, dan lima anak mereka, Muhammad Zulqarnain Haikal, 11, Putri Nurerina Natasya, 10, Muhammad Haziq Ziqree, 6, Putri Aryana Umaira, 4, dan Putri Balqis Izzati, 18, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad.
Jenazah kelapan, Putri Alleya Maisarah, 16, pula dikebumikan pada keesokan harinya manakala mangsa kesembilan Muhammad Fikri Saliman, 24, Sabtu lalu di Batu Pahat, Johor.
Mangsa ke-10, Putri Nor Fatin, 14, bagaimanapun masih belum ditemukan sehingga ini.
Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian 10 mangsa tragedi itu dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga mangsa sabar serta tabah menghadapi dugaan tersebut.
“Marilah kita mendoakan agar roh mereka dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh,” titah baginda.
Seri Paduka baginda turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pasukan penyelamat serta orang ramai yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) kesemua mangsa tragedi. – UTUSAN