SIBU: Seorang mayat lelaki lemas ditemukan awal pagi tadi selepas dilaporkan hilang ketika menjala ikan di Sungai Batang Rajang, Tanjung Latap di sini semalam.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon Sibu, Andy Alie berkata, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Sibu Sentral menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa pada hari kedua bermula 6.55 pagi.
“Pasukan operasi yang menjalankan pencarian sekitar radius tiga kilometer dari lokasi kejadian menggunakan teknik ‘Swift Water Rescue’ dan ‘Grappling Iron’ secara berulang kali akhirnya berjaya menemukan mangsa.
“Mayat mangsa disahkan oleh ahli keluarganya laporan mangsa hilang juga dibuat sebelum ini,” ujarnya.
Mangsa dikenali sebagai Payau Meluda, 49, berasal dari Rumah Dana, Tanjung Latap dijumpai pada 10.53 pagi, kira-kira 50 meter dari lokasi mangsa dikatakan lemas.
Tambah Andy lagi, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi SAR ditamatkan sejurus mangsa ditemukan.
Dalam kejadian yang berlaku sekitar pukul 9.30 malam Ahad lalu, seorang saksi memberitahu, mangsa yang keluar menjala ikan di perairan Batang Rajang dan turun ke dalam air pada jarak 20 meter dari tebing sungai.
Bagaimanapun, mangsa dikatakan hilang selepas turun ke dalam air berkenaan dan ahli keluarga menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan. -UTUSAN