Harga barang naik bermula Ogos ini hanya tilikan -Fahmi

Harga barang naik bermula Ogos ini hanya tilikan -Fahmi

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Harga barangan yang didakwa meningkat sebanyak 20 peratus menjelang Ogos ini tidak akan berlaku kerana beberapa petunjuk ekonomi pada tahun ini adalah lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, kadar inflasi yang dicatatkan setakat ini turut menunjukkan trend penurunan.

“Saya lihat laporan dalam beberapa media hari ini bahawa dalam bulan Ogos ini, harga barang naik 20 peratus. Macam mana dia tilik, dia rujuk, nujum pak belalang kah dia ini, bulan Ogos harga akan naik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Bilik Gerakan Utama dan Jentera Pilihan Raya PKR bagi Dewan Undangan Negeri Batu Tiga di sini, malam tadi.

Beliau mengulas dakwaan Presiden Dewan Perniagaan dan Industri India Kuala Lumpur dan Selangor (KLSICCI), Nivas Ragavan yang mendakwa harga barangan pengguna dijangka meningkat sehingga 20 peratus menjelang Oktober tahun ini dengan didorong dua faktor utama iaitu inflasi import dan peningkatan kos operasi perniagaan di Malaysia.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Nivas berkata, pihaknya mengesan peningkatan 20 peratus kos pengeluaran dan operasi dalam kalangan ahli KLSICCI sejak Januari lalu.

Katanya, peningkatan kos itu ekoran kemerosotan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sehingga mendorong berlaku inflasi import pada kadar tinggi.

Tambah Fahmi, setakat ini, Kerajaan Perpaduan juga berjaya menurunkan kadar inflasi yang dikaitkan dengan kenaikan harga barang daripada 3.3 peratus pada April kepada 2.8 peratus pada Mei.

“Kedua, suku pertama tahun ini menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang sangat rancak iaitu 5.6 peratus dan kadar ini adalah lebih rancak dari China, Singapura dan Indonesia,” katanya.

Fahmi berkata, dalam tempoh tiga bulan pertama 2023 juga, jumlah pelaburan yang masuk ke dalam negara dianggarkan berjumlah kira-kira RM71 bilion iaitu lebih tinggi berbanding RM44 billion yang dicatat bagi tempoh sama pada tahun lepas kerana didorong oleh kestabilan politik.

Beliau berkata, jumlah pelaburan asing juga dijangka terus meningkat pada masa akan datang termasuk melibatkan pelaburan besar dari kerajaan Arab Saudi.

Katanya, justeru, jentera PH dan Barisan Nasional harus bekerja keras untuk menyampaikan kepada rakyat apa yang diusahakan serta dicapai oleh kerajaan hari ini dalam membangunkan ekonomi negara.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya