Hantaran Chef Wan tidak memfitnah bekas menantunya

Mahkamah putuskan hantaran Chef Wan di media sosial tidak fitnah bekas menantunya

REDZUAWAN ISMAIL@CHEF WAN Redzuawan Ismail atau Chef Wan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini memutuskan lapan hantaran dalam laman sosial Instagram dan Facebook yang dibuat oleh Datuk Chef Wan, tidak memfitnah bekas menantunya, Gavin Edward O’Luanaigh.

Pesuruhjaya Kehakiman Rozi Bainon berpuas hati, Gavin gagal membuktikan elemen fitnah dalam kelapan-lapan hantaran berkenaan yang menjadi subjek dalam tuntutan saman fitnah terhadap bekas bapa mentuanya.

Mahkamah berpendapat, semua hantaran tersebut bukan bersifat menghina Gavin (plaintif) iaitu bekas suami pelakon Serina Redzuawan atau fitnah seperti yang diinterpretasikannya.

Hakim berkenaan memutuskan demikian ketika menolak tuntutan Gavin pada 11 Mei lalu. Mahkamah bagaimanapun membenarkan sebahagian relif tuntutan yang dipohon plaintif.

Gavin yang merupakan seorang warganegara British memeluk Islam pada 20 November 2006 dan menggunakan nama Salahudin Ghafffar. Beliau memiliki syarikat yang menjalankan perniagaan berasaskan sukan dan melaksanakan kempen pemasaran bola sepak.

Mahkamah turut memerintahkan Gavin memfailkan prosiding menghina mahkamah terhadap Chef Wan (defendan) di mahkamah berasingan kerana melanggar akujanji bertarikh 25 Jun 2020 yang dibuatnya di hadapan hakim berlainan.

Dalam penghakiman bertulis setebal 81 muka surat, Hakim Rozi turut berpendapat, Gavin berhak mendapat perintah injunksi menahan bekas bapa mentuanya atau sesiapa sahaja menerbitkan atau menyebabkan dakwaan palsu atau memfitnah diterbitkan.

Sementara itu, mahkamah turut mengarahkan Chef Wan atau nama sebenarnya Redzuawan Ismail menurunkan kelapan-lapan hantaran berkenaan dalam tempoh tujuh hari dari tarikh penghakiman.

Peguam Datuk M. Reza Hassan yang mewakili Chef Wan ketika dihubungi wakil media mengesahkan, anak guamnya telah menurun hantaran berkenaan daripada laman sosialnya.

Mahkamah turut memerintahkan Gavin membayar kos RM25,000 kepada Chef Wan.

Dalam penghakiman bertulis bertarikh 21 Julai lalu yang diperolehi daripada sistem mahkamah, Hakim Rozi menerima pengakuan Chef Wan bahawa bukan semua `perkataan yang dipersoalkan itu merujuk kepada Gavin’ atau berniat jahat.

Pada hemat hakim berkenaan, Chef Wan berhak menggunakan pembelaan justifikasi, ulasan saksama, perlindungan mutlak dan perlindungan bersyarat.

“Mahkamah bersetuju dengan pihak defendan bahawa frasa atau ungkapan atau perkataan yang digunakan oleh defendan, tidak merujuk kepada plaintif.

“ Plaintif gagal memanggil saksi-saksi dalam kalangan pembaca yang biasa (reasonable sensible reader) untuk menyokong penegasan beliau berhubung ungkapan itu yang merujuk kepada Gavin atau nama Islamnya Salahudin Ghaffar,” ujar hakim berkenaan.

Pada awalnya, Gavin memfailkan satu tindakan sivil terhadap Chef Wan di mahkamah berlainan (saman No. 17) pada Mac 2020 yang merujuk sejumlah 18 hantaran di Instagram dan Facebook yang dibuat oleh chef selebriti itu.

Gavin memohon injunksi terhadap bekas bapa mentuanya bagi menghalang beliau mengeluarkan kenyataan memfitnah.

Pada 25 Jun 2020, Chef Wan memberi akujanji di mahkamah berkenaan untuk menurunkan semua hantaran yang dibuatnya dan tidak mengulangi pernyataan tersebut.

Gavin kemudian memfailkan tuntutan (saman No. 8) berkaitan lapan hantaran kerana kegagalan Chef Wan mematuhi akujanji dalam saman No. 17.

“Berdasarkan hantaran bagi saman No. 8, plaintif memplidkan bahawa defendan mengulangi dan masih menulis mengenai plaintif,” ujar hakim berkenaan.

Selain M. Reza, Chef Wan turut diwakili Azureen Ibrahim dan Farah Husna Shahril manakala Gavin diwakili Tan Soo Yew bersama-sama Nurkhidmah Huzaisham.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN