KUALA LUMPUR: Seramai 1,986 daripada 43,687 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 tidak hadir untuk mengambil peperiksaan berkenaan.
Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof. Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman menjelaskan, majoriti calon yang tidak hadir itu meliputi beberapa faktor.
“Kebanyakan calon yang tidak hadir disebabkan ada yang telah mendapat pekerjaan, ada juga yang menyambung pengajian ke peringkat diploma atau program lain.
“Ada juga yang sakit dan meninggal dunia jadi tidak ramai yang tidak hadir STPM,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan keputusan STPM hari ini.
Katanya, secara keseluruhan, bilangan calon yang mendaftar untuk menduduki peperiksaan STPM 2022 adalah sebanyak 43,687 calon meningkat sebanyak 3.11 peratus (1,318 calon) daripada 42,369 calon yang mendaftar STPM 2021.
“Daripada 43,687 calon yang mendaftar, sebanyak 95.45 peratus calon (41,701 calon) hadir untuk menduduki peperiksaan pada ketiga-tiga semester STPM 2022.
“Daripada 41,701 calon yang hadir, sebanyak 89.72 peratus atau 37,414 adalah calon kategori B40. Bermakna sebanyak 10.28 peratus atau 4,287 calon adalan bukan dalam kalangan kategori B40,” katanya.
Dari segi kehadiran mengikut aliran, bilangan calon aliran sains sosial yang hadir adalah sebanyak 37,704 calon (90.42 peratus) manakala bilangan calon aliran Sains vang hadir adalah sebanyak 3,997 calon (9.58 peratus).
Mata pelajaran Pengajian Am adalah mata pelajaran wajib dan mempunyai bilangan calon mendaftar yang tertinggi iaitu sebanyak 43,676 calon dengan 11 calon tidak mendaftar Pengajian Am).-UTUSAN