Graduan UUM peroleh gaji RM11,000

Graduan UUM peroleh gaji RM11,000 sebulan

WONG Wei Jie dan Ahmad Afiq Iqmal Ahmad Said sewaktu menghadiri Majlis Konvokesyen UUM baru-baru ini. -IHSAN UUM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang graduan Universiti Utara Malaysia (UUM), Wong Wei Jie yang baru saja menamatkan pengajiannya kini mendapat gaji bulanan sangat lumayan iaitu RM11,000 sebulan selepas diterima bekerja sebuah syarikat antarabangsa Denmark, Maersk Omnichannel Fulfilment yang berpangkalan di Singapura.

Anak jati Sabak Bernam, Selangor itu memegang jawatan sebagai ‘Global Management Trainee’ di syarikat tersebut selepas menamatkan pengajiannya dalam bidang Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Logistik dan Pengangkutan) UUM.

 Menurut penerima Anugerah Pelajaran Diraja pada Majlis Konvokesyen ke-35 itu, di dunia pekerjaan kebanyakan majikan mencari graduan yang memiliki ciri-ciri khusus seperti ilmu, kepakaran dalam bidang tertentu dan soft skills terutamanya kemahiran berkomunikasi yang melicinkan urusan.

 “Dunia kerjaya, memang sangat berbeza dengan menuntut ilmu di universiti dari segi membina hubungan dengan staf yang lain, jaringan antara jabatan.

 “Apa jua kerja sekalipun, ilmu paling utama, pengalaman dan kemahiran yang  dipelajari ini juga merupakan satu bentuk pendidikan yang mampu mencorak masa depan yang cerah,” katanya.

 Menamatkan pengajian ijazah sarjana muda kelas pertama dengan purata nilai gred keseluruhan (PMK) 3.84, Wei Jie berkata, kejayaan dikecapinya bukan miliknya sendiri sebaliknya hasil sokongan keluarga, pensyarah dan rakan-rakan.

 Jelasnya, UUM merupakan antara universiti yang bukan sahaja menitikberatkan akademik bahkan kegiatan kokurikulum.

“Penglibatan dalam aktiviti kokurikulum ini banyak mengajar saya menjadi lebih berdikari, teratur dari segi pengurusan masa dan organisasi.

 “Akademik cemerlang, kokurikulum mantap barulah dapat merasai keseronokan bergelar mahasiswa untuk mendapatkan pendedahan sebanyak mungkin,” katanya.

 Beliau merupakan ahli Beta Gamma Sigma (BGS) UUM Chapter Kohort ke-4 dan dinobatkan sebagai pelajar terbaik di Majlis Konvokesyen CILT Malaysia 2022.

 Data kebolehpasaran graduan (GE) UUM pada tahun 2022 sebanyak 94.4 peratus meningkat 10 peratus berbanding GE pada 2021 bermakna kebanyakan graduan UUM yang menaiki pentas untuk Konvokesyen ke-35 ini, sudah berada di alam pekerjaan.

 Sementara itu, seorang lagi penerima Anugerah Pelajaran Diraja, Ahmad Afiq Iqmal Ahmad Said sudahpun bekerja sebagai ‘People and Change Associate’ di syarikat Klynveld Peat Marwick Goerdeler (KPMG) di Petaling Jaya.

 Jelasnya, KPMG merupakan salah satu daripada ‘Big 4,’ iaitu empat firma perkhidmatan profesional terbesar di dunia yang memberikan perkhidmatan profesional global mengaudit, pencukaian dan konsultansi.

 Anak jati Tanah Merah, Kelantan itu berjaya memperoleh Anugerah Dekan pada setiap semester dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.96.

 “Saya sangat bersyukur, anugerah ini amat bermakna sekali gus membuktikan bahawa usaha tidak akan pernah mengkhianati hasil yang didedikasikan melalui ketekunan, dedikasi dan pengorbanan yang dicurahkan sepanjang pengajian.

“Anugerah ini juga bertindak sebagai perangsang dan memotivasikan saya untuk terus mempunyai cita-cita yang tinggi dalam setiap apa yang akan dilakukan yang akan memberi impak positif dalam terutamanya dalam karier saya sekarang,” katanya.

Beliau turut berjaya meraih kelas pertama dalam Ijazah Sarjana Muda Sains (Sains Pemutusan) selain terpilih sebagai penerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di atas kecemerlangan ini.

Ahmad Afiq merupakan seseorang yang menitikberatkan keseimbangan antara akademik dan kokurikulum yang melonjakkan momentum cemerlang ke arah menjadi mahasiswa holistik.     

“Menerusi pencapaian ini, saya dapat meningkatkan keyakinan diri, percaya dengan kemampuan diri sendiri di alam pekerjaan, malah, anugerah ini juga dapat memberi kesan positif kepada komuniti di mana saya dapat menginspirasikan generasi muda untuk berusaha mencapai kemajuan diri.

“Sudah pasti perjalanan ini penuh berliku, antara cabaran yang dihadapi termasuklah pengurusan masa untuk menyeimbangkan komitmen akademik, aktiviti kokurikulum dan peribadi selain terpaksa mengorbankan kehidupan sosial demi mengejar kecemerlangan akademik.

“Jadi, pengorbanan anda bermula dari sekarang, korbankan masa terluang dengan aktiviti berfaedah terutamanya ulangkaji pelajaran di samping bergiat aktif dalam   kokurikulum secara tidak langsung anda dapat meningkatkan kemahiran organisasi,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya