Gangguan bekalan air 'ragut' kemeriahan kenduri di Semerak

Gangguan bekalan air ‘ragut’ kemeriahan kenduri di Semerak

air
ASMADI Mohamed menunjukkan air telaga tiub yang tidak berkualiti digunakan untuk mencuci tangan sepanjang kenduri diadakan di rumahnya di Kampung Raja Dagang, Pasir Puteh, Kelantan hari ini.UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Kemerian majlis kenduri perkahwinan, kesyukuran, akikah dan ibadah korban di sekitar Semerak di sini, hari ini bagaikan ‘diragut’ selepas kawasan itu dilanda masalah gangguan bekalan air.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati lebih 10 buah keluarga yang mengadakan kenduri berdepan kesukaran susulan gangguan tersebut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penduduk Kampung Raja Dagang, Asmadi Mohamed, 59, berkata, situasi itu menyebabkan dia terpaksa membeli air bersih di daerah Besut, Terengganu untuk memasak gulai dan nasi.

Menurutnya, pada masa sama dia terpaksa menggunakan telaga tiub yang keruh untuk membasuh tangan disebabkan tidak mempunyai pilihan.

“Pihak pengendali perkhidmatan iaitu Air Kelantan Sdn. Bhd (AKSB) sepatutnya peka dengan penduduk terutama pada Hari Raya Aidiladha. 

“Saya memilih mengadakan kenduri akikah cucu pada sambutan Hari Raya Aidiladha kerana memikirkan ramai sanak-saudara pulang ke kampung,” katanya ketika ditemui hari ini.

Asmadi memberitahu, dia terpaksa meneruskan majlis kerana ia sudah dirancang sejak dua minggu lalu.

Seorang lagi penduduk di Pekan Cherang Ruku, Zailani Ya, 57, berkata, kenduri di rumahnya terpaksa diteruskan dengan menggunakan air minuman yang dibeli untuk memasak makanan dan penyediaan minuman.

Katanya, AKSB sepatutnya cakna dengan tampil membekalkan kepada penduduk bagi memberikan kemudahan untuk melaksanakan kenduri.

“Kerja-kerja baik pulih sepatutnya dilakukan diluar musim perayaan. Saya harap pemimpin atasan AKSB lebih bijak dalam membuat perancangan selepas ini.

“Janganlah mengamalkan sikap seolah-oleh ‘melepaskan batuk di tangga,” ujarnya.

Sementara itu, jurucakap AKSB ketika dihubungi berkata, bekalan air bersih terputus di kawasan Semerak disebabkan kerja-kerja kecemasan membaiki loji air di Bukit Peraksi sejak semalam.

Katanya, bekalan air dijangka pulih selewat-lewatnya pada pukul 7 malam ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya