Galeri Rumah Lat jadi tumpuan pengunjung

Galeri Rumah Lat jadi tumpuan pengunjung

ORANG ramai yang mengunjungi Rumah Lat di Batu Gajah. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH: Galeri Rumah Lat di sini yang dirasmikan pembukaannya pada Sabtu lalu terus menjadi tumpuan pengunjung.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, galeri tersebut menerima kedatangan pengunjung yang ramai terutama yang datang bersama ahli keluarga bagi melihat koleksi kartun dan lukisan kartunis negara, Datuk Mohamad Nor Khalid atau Lat yang dipamerkan di situ.

Galeri Rumah Lat terdiri daripada dua komponen iaitu Galeri Lat yang menempatkan ruang pameran karya Lat, koleksi lukisan terpilih karikaturnya sejak dari 1962 serta biografi Lat selain ruang mengadakan bengkel seni lukis kartun.

Di galeri itu terdapat ruangan pameran, kedai cenderahati, kafe, taman karya Lat dan ruangan pejabat.

Sementara itu Rumat Lat pula merupakan rumah Melayu berbumbung lima atau Rumah Limas potongan Perak yang dibina menggunakan kaedah tradisional.

Antara komponen di Rumah Lat ialah perabot, kelengkapan rumah bahagian anjung, rumah ibu dan dapur, hiasan dalaman dan kelengkapan dapur.

Pengunjung yang ditemui berkata, mereka teruja untuk melihat koleksi kartun Lat yang dipamerkan di situ.

Pengunjung, Adam Nor Fafni, 13, berkata, dia tidak tahu apa-apa tentang dunia kartun namun setelah melihat koleksi yang dipamerkan, dia kagum dengan seni lukisan daripada kartunis terkenal itu.

“Saya masuk ke galeri lukisan banyak gambar-gambar kartun lama dan baru dipamerkan yang mencerminkan atau menceritakan suasana dan keadaan semasa tempat dan sejarah sesuatu tempat.

“Walaupun hanya lukisan tapi ia mempunyai nilai seni yang tinggi dan anak-anak saya gembira kerana dapat berkunjung ke galeri ini,” katanya.

Nora Salleh, 47, berkata, dia gembira kerana galeri itu akhirnya dibuka untuk orang ramai sekali gus menjadi tarikan pelancong ke Batu Gajah.

“Dahulunya tempat ini hutan, kawasan lombong tinggal, sunyi tetapi kini dibangunkan dengan galeri ini. Koleksi Lat yang dipamerkan di sini wajar menjadi kebanggaan kita semua,” katanya.

Khairul Anuar, 57, pula berkata, melihat replika rumah sebenar Lat, dia terasa sebak apabila melihat peralatan lama yang dipamerkan di rumah itu seperti katil lama, meja dan bangku lama, dapur kayu yang menyebabkan dia teringat zaman kanak-kanaknya.

“Kampung saya tidak jauh dari galeri ini, di Kampung Tualang. Hari ini saya bawa ahli keluarga untuk mereka lihat apa yang dipamerkan di sini.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri Perak yang membina Galeri Rumah Lat ini, di sini saya dapat melihat hasil karya yang tinggi yang menjadi kebanggaan kita,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya