Fitnah: Anwar peroleh perintah injunksi terhadap Sanusi - Utusan Malaysia

Fitnah: Anwar peroleh perintah injunksi terhadap Sanusi

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya mendapatkan perintah injunksi sementara (interim) terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor bagi menghalangnya daripada mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung Perdana Menteri.

Perintah exparte (sebelah pihak)  diputuskan  Hakim Mahkamah Tinggi Alor Setar, Mahazan Mat Taib pada prosiding  secara zoom, semalam.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam, Datuk Sankara Nair ketika dihubungi media hari ini.

Perintah itu antara lain menghalang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeneri itu atau kakitangan atau ejennya untuk mengeluarkan, menerbitkan dan mengulangi sebarang kenyataan berbaur fitnah dalam apa jua bentuk medium sebagaimana yang dinyatakan dalam saman Anwar terhadap Muhammad Sanusi.

Menurut peguam terbabit,  injunksi tersebut dipohon ekoran tindakan Muhammad Sanusi yang masih mengulangi kenyataan-kenyataan berbaur fitnah walaupun telah disaman.

Muhammad Sanusi didakwa mengulangi kata-kata fitnah itu pada “Jelajah PN Best Negeri Sembilan”  pada 18 Mac lalu di Nilai, Negeri Sembilan.

FITNAH

Pada 13 Disember 2022, Anwar menyaman Muhammad Sanusi berhubung ucapan berbaur fitnah yang mengaitkan Perdana Menteri dengan perlakuan tidak bermoral dalam satu kempen ceramah ‘Jelajah PN Best Tambun’.

“Tarikh perbicaraan saman fitnah itu belum ditetapkan namun walaupun mengetahui bahawa kes saman itu belum selesai, Muhammad Sanusi dengan tegar dan tekad untuk mengulangi kenyataan fitnah yang menyentuh mengenai perbicaraan kes jenayah Anwar yang lalu.

“Muhammad Sanusi boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah sekiranya melanggar perintah injunksi tersebut,”kata peguam itu.

Tambahnya, salinan perintah injunksi termeterai telah diserahkan kepada peguam mewakili Menteri Besar itu kira-kira pukul 12:30 tengah hari, hari ini.

Menurut pernyataan tuntutan Anwar, Ahli PArlimen Tambun itu mendakwa kenyataan yang dibuat oleh Muhammad Sanusi pada November 2022 antaranya membawa maksud plaintif (Anwar) mendapat pengampunan Diraja melalui penipuan dan kekal tidak diampunkan serta telah memperdaya Yang di-Pertuan Agong, seorang pembohong, tidak boleh dipercayai, tidak beretika dan mengkhianati mandat rakyat.

Plaintif mendakwa kenyataan-kenyataan itu adalah tidak benar, keji serta berniat jahat dengan tujuan untuk menghasut orang ramai dan menimbulkan kebencian peribadi terhadapnya dan PH semasa tempoh berkempen menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November 2022.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya