Empat pengedar diberkas, polis rampas dadah lebih RM4 juta - Utusan Malaysia

Empat pengedar diberkas, polis rampas dadah lebih RM4 juta

KAMARUL ZAMAN MAMAT (dua dari kanan) menunjukkan rampasan dadah bernilai lebih RM4 juta dalam sidang media di IPK, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua.

Begitulah nasib empat individu yang menjadi ahli sindiket pengedaran dadah apabila mereka diberkas di Kluang, Isnin lalu.

Nyata taktik mereka membungkus pelbagai jenis dadah dalam pek jus minuman dan teh tidak bertahan lama serta berjaya dibongkar pihak polis.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dalam operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada pukul 6.20 petang itu, kesemua suspek yang berusia antara 22 hingga 30 tahun berjaya ditahan dan pihaknya merampas pelbagai jenis dadah berjumlah RM4,304,551.90.

“Modus operandi yang digunakan adalah menjadikan rumah teres dua tingkat yang disewa sebagai stor dan tempat pembungkusan semula dadah.

“Sindiket ini yang aktif sejak lapan bulan lalu akan membungkus barang terlarang ke dalam pek kecil jus minuman dan teh sebelum diedarkan ke pusat-pusat hiburan dengan harga serendah RM150 sebungkus,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Johor, di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalannya, Deputi Komisioner M. Kamar.

Kamarul Zaman berkata, antara dadah yang dirampas ialah 54.33 kilogram (kg) serbuk ekstasi, pil eramin 5 (7,923 biji), pil ekstasi (6,564 biji), ketamin (1.22kg) dan ganja (346 gram).

Dalam operasi itu, pihaknya turut merampas enam buah kenderaan termasuk kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda HR-V, Volkswagen Scirocco dan Golf serta Perodua Axia yang disyaki digunakan untuk mengedar dadah.

Selain itu, pelbagai barang kemas bernilai RM12,339.09 serta wang tunai RM11,000 disita dan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM4,759,890.99.

“Siasatan lanjut ke atas suspek mendapati salah seorang daripada mereka memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah selain tiga individu didapati positif dadah jenis ketamin,” katanya.

Kesemua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hingga 24 Julai ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sejak awal tahun hingga 17 Julai lalu, JSJN Johor berjaya membuat tangkapan ke atas 9,368 individu atas pelbagai kesalahan jenayah serta merampas 3.39 tan dadah bernilai RM20.62 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya