KOTA BHARU : Empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini mengemukakan lima tuntutan kepada kerajaan yang bakal ditubuhkan pasca pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos nanti.
Lima tuntutan itu adalah garis masa dan peruntukan tepat dalam menyelesaikan isu fasiliti negeri selaras kaedah fiqh aulawiyat, garis masa perjuangan royalti Kelantan, ukuran prestasi lantikan politik dalam agensi kerajaan negeri serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pelan holistik alam sekitar Kelantan terpelihara dan pengurusan kerajaan negeri selaras dengan dengan teknologi revolusi industri 4.0 (IR 4.0).
Naib Yang Dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Kelantan, Saifulnizam Muhamad berkata, selain pihaknya tiga lagi NGO yang mengemukakan tuntutan itu ialah Wadah Pencerdasan Umat Islam Malaysia (Wadah) Kelantan, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Kelantan dan Pertubuhan Ikatan Muafakat Serumpun Malaysia (Serumpun) Kelantan.
Menurutnya, tuntutan tersebut tidak bersifat menekan, menyalahkan, serangan atau berpihak kepada mana-mana parti politik sama ada sebagai pemerintah atau pembangkang.
“Ia lebih kepada harapan agar isu-isu berkaitan permasalahan dan kepentingan rakyat terus disegarkan, dibincang serta dibahaskan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Kesemua NGO terlibat yang berpangkalan di Kelantan akan terus konsisten dan komited sebagai pihak yang melakukan semak dan imbang kerajaan negeri pada penggal akan datang tanpa mengira parti politik mana mendapat mandat rakyat,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Dakwah ABIM Kelantan, Tanjung Mas, di sini hari ini.
Saifulnizam memberitahu tuntutan berkenaan akan tuurt diedarkan kepada semua parti politik yang bertanding pada PRN nanti di sepanjang tempoh kempen sehingga ke hari mengundi.
“Mungkin selama ini tuntutan ini hanya dibicarakan di kedai-kedai kopi atau meja-meja makan dan belum didokumentasi. Sebenarnya pihak sepatutnya memperjuangkan perkara ini adalah parti-parti politik kerana mereka yang berlumba-lumba berebut kuasa.
“Tuntutan tidak akan terhenti di sini dan bilangan NGO juga mungkin bertambah kerana kami mengalu-alukan lebih banyak pertububan terlibat. Kita akan terus berhubung dengan NGO-NGO lain dari semasa ke semasa,” ujarnya.-UTUSAN