PORT DICKSON: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan menahan empat buat bot penumpang yang dikesan membawa lebihan muatan di perairan Port Dickson di sini pagi tadi.
Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata, kesemua bot itu ditahan pada pukul 11.15 pagi di kedudukan 0.2 batu nautika barat laut Pantai Tanjung Biru di sini.
“Semasa anggota penguatkuasa Maritim Malaysia sedang melakukan rondaan operasi telah melihat beberapa bot penumpang yang sarat dengan penumpang.
“Pemeriksaan dilakukan mendapati, kesemua empat bot penumpang itu membawa pelancong warganegara China dan masing-masing membawa muatan penumpang melebihi daripada had 12 orang yang dibenarkan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurut Iskandar, satu daripada empat bot yang diperiksa juga didapati tidak mempunyai lesen yang sah.
“Tindakan pengusaha bot yang tidak mengikut peraturan ini sangat membahayakan nyawa kerana ada di antara bot tersebut membawa penumpang sehingga 33 orang ketika diperiksa,” katanya.
Iskandar berkata, kesemua bot seterusnya dibawa ke Jeti Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan dibawah Akta Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.-UTUSAN.